Gempa bumi 6.4 magnitud landa pantai timur Jepun

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO: Satu gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud melanda pantai timur Jepun, awal pagi tadi, lapor Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, setakat ini.

Menurut makluman USGS dalam laman sesawangnya, pusat gempa bumi itu terletak 41.7 kilometer (km) di bawah dasar laut Pasifik, iaitu kurang 50km di luar perairan Miyagi, namun kadar risiko kemalangan jiwa serta kerosakan adalah rendah.

-Advertisement-

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mencatatkan ukuran gempa bumi itu pada 6.1 magnitud dengan kedalaman 50km.

-Advertisement-

Menurut Agensi Berita Kyodo, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi (waktu tempatan).

Jepun terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang mempunyai aktiviti pergerakan seismik yang aktif merentasi Asia Tenggara dan Lautan Pasifik.

Pada 2011, Jepun dilanda gempa bumi berukuran 9.0 magnitud yang mencetuskan tsunami besar, sekali gus memusnahkan loji nuklear Fukushima dan meragut hampir 16,000 nyawa.

– AFP

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share