UOB tutup sementara 8 cawangan hingga tamat tempoh PKP

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) menutup sementara lapan daripada 45 cawangannya bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cawangan yang terjejas ialah di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Wong Kim Choong berkata bank memutuskan untuk menutup  cawangan tersebut berdasarkan trafik yang berkurangan dengan ketara sejak pelaksanaan PKP.

“Bagaimanapun, kami akan terus menyediakan kemudahan perbankan layan diri di cawangan yang terjejas, kecuali cawangan kami di Medan Pasar yang terletak berhampiran Masjid India yang kini di bawah PKP diperketatkan.

“Pelanggan di kawasan Masjid India yang memerlukan perkhidmatan di kaunter atau kemudahan perbankan layan diri boleh terus mendapat perkhidmatan tersebut di dua cawangan yang terdekat terletak di Jalan Raja Laut dan Jalan Pudu,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata pelanggan boleh terus menguruskan keperluan tunai mereka melalui mesin juruwang automatik (ATM) bank dan mesin deposit tunai, cek dan syiling dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Bank akan terus memantau trafik pelanggan di seluruh cawangannya dan menilai langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya untuk kesejahteraan pelanggan, rakan sekerja dan masyarakat, katanya.

Sejajar dengan keperluan masyarakat untuk mematuhi langkah-langkah penjarakan yang selamat, UOB Malaysia menggalakkan pelanggannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan digitalnya, termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Perniagaan UOB Plus dan aplikasi mudah alih UOB Mighty.

-BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share