Pembuangan haiwan peliharaan naik 3 kali ganda

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat 3 kali ganda di sekitar Kuala Lumpur ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

-Advertisement-

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baru di sesebuah kawasan yang dijaga pemberi makan haiwan jalanan.

“Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada 5 ekor anjing, tetapi kelmarin jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira 3 kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Ditanya mengenai kelakuan anjing baru itu, Arie berkata, ia amat jinak dan tidak agresif.

Katanya, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati kebanyakan haiwan itu dibuang di kawasan perindustrian sunyi dan bukannya kawasan perumahan.

“Pemilik haiwan memilih kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan.”

-Advertisement-

Arie berkata, persatuannya tidak menolak kemungkinan pemilik haiwan bertindak sedemikian kerana khuatir jangkitan penyakit dan tidak mampu meneruskan pemeliharaan haiwan peliharaan kerana kehilangan sumber pendapatan ketika PKP.

“Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan tempat berteduh selepas dibuang?”

Beliau menggesa pihak berkuasa mewajibkan pemasangan mikrocip identiti di badan haiwan kerana ia akan membantu mengesan pemilik haiwan jika mereka membuangnya.

Sementara itu, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor, berkata pemilik yang meninggalkan mana-mana haiwan sehingga menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(p) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun.”

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share