Tunjuk perasaan bantah perintah berkurung di AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

HARRISBURG: Bunyi bingit hon ratusan kenderaan memenuhi ruang udara Pennsylvania, semalam, sebagai bantahan terhadap perintah berkurung yang dilaksanakan untuk memerangi pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Dalam demonstrasi selama kira-kira tiga jam itu, ramai memandu pikap yang dihias dengan bendera AS atau slogan menuntut kebebasan.

Peserta demonstrasi itu yang mendakwa bahawa peraturan kesihatan awam menjejaskan kebebasan ekonomi, berkumpul selepas bantahan serupa diadakan di tempat lain dan Presiden Amerika Syarikat (AS) menciap sokongan kepada mereka pada minggu lalu.

Antaranya ialah sekumpulan adik-beradik aktivis penyokong senjata api, yang turut terbabit dalam penganjuran tunjuk perasaan membantah kuarantin di seluruh AS.

Demonstrasi itu bagaimanapun gagal mempengaruhi majoriti rakyat yang menyokong langkah berkurung di dalam rumah bagi memutuskan rantaian virus terbabit.

-Advertisement-

Selain kenderaan, ratusan individu yang kebanyakannya tidak memakai topeng muka walaupun menyedari ancaman virus itu, berkumpul di tangga bangunan kerajaan.

Mereka membawa sepanduk tertera kesan buruk dialami ekonomi susulan perintah berkurung atau kata-kata menuduh Gabenor Tom Wolf menggunakan virus itu sebagai alasan untuk meraih kuasa.

Turut serta dalam tunjuk perasaan itu ialah perwakilan Kongres daripada Republikan.

Ahli Parlimen, Aaron Bernstine, berkata ‘normal baharu tidak bermaksud kami akan mengorbankan kebebasan kami untuk keselamatan negara’.

COVID-19 sudah menjangkiti lebih 33,000 penduduk dan meragut lebih 1,300 nyawa di Pennsylvania.

Ketika ini, AS adalah pusat penyebaran global untuk pandemik itu dengan lebih 41,000 kematian. – AFP

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share