Ah Long dapat peluang terbuka semasa PKP?

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Dua persatuan peminjam wang memberi amaran bahawa kerajaan mungkin menyebabkan orang ramai yang memerlukan wang tunai segera mendapatkannya daripada Ah Long berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

-Advertisement-

Individu yang memerlukan wang tunai segera semasa PKP tidak ada pilihan selain pergi kepada Ah Long, kata presiden Persatuan Kredit Komuniti Malaysia (ACCOM) Rick Lim dan presiden Persatuan Peminjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia (PLMA) Palwinder Singh.

Mereka mendakwa perkembangan itu merupakan kebimbangan utama, selain mengadu tentang kesan PKP ke atas perniagaan masing-masing.

Lim memberitahu FMT mereka kini berurus niaga secara atas talian, tetapi berkata, cara itu hanya dapat dilakukan oleh peminjam wang yang berpangkalan di bandar, di mana peminjam boleh membuat bayaran secara atas talian dengan mudah.

“Sukar bagi kami untuk membuat kutipan dan urus niaga rutin, terutama di kawasan luar bandar,” katanya dengan menambah bahawa bayaran balik pinjaman kini merosot hingga 35%.

“Kami masih perlu membayar gaji kakitangan. Oleh sebab itu kami membuat permohonan supaya kerajaan membenarkan kami membuka perniagaan 2 kali seminggu, dari jam 9 pagi hingga 2 petang.”

Beliau berkata, tidak seperti bank, peminjam wang tidak mampu memberi moratorium ke atas bayaran balik pinjaman.

“Tetapi kami tidak mengenakan caj ke atas pembayaran balik lewat. Bagi mereka yang hilang pekerjaan, mereka boleh datang dan berbincang opsyen yang ada dengan kami.”

Beliau berkata, sekatan berpanjangan ke atas operasi perniagaan akan memaksa sebilangan daripada mereka menutupnya secara kekal.

-Advertisement-

Katanya, sekiranya mereka dibenarkan beroperasi 2 kali seminggu pun, mereka hanya dapat membuat kutipan dan merundingkan semula pinjaman kerana pengeluaran pinjaman baru menghendaki perjanjian disahkan oleh Kementerian Kewangan.

Ini tidak dapat dilakukan keraja pejabat mati setem ditutup.

Palwinder berkata, banyak ahli persatuan yang menerima panggilan daripada individu yang memerlukan pinjaman.

“Tetapi kami tidak boleh memberi pinjaman kerana ia perlu dimati setem.”

Katanya, beliau bimbang sesetengah individu akhirnya terpaksa meminjam daripada Ah Long.

“Jika mereka perlu wang, mereka tetap perlukannya. Mereka akan pergi ke mana-mana juga bagi mendapatkannya.”

Beliau juga berkata, sesetengah peminjam beranggapan bahawa mereka, seperti pelanggan bank, dilitupi di bawah peraturan moratorium secara automatik.

Katanya peminjam wang boleh memberi moratorium hanya jika kerajaan menyediakan geran kepada mereka.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share