Benarkan pelajar IPT pulang secara berfasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) wajar dilakukan secara berfasa bagi membendung penularan COVID-19.

-Advertisement-

Perkara itu dicadangkan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Tan Sri Lee Lam Thye, jika kerajaan membenarkan pelajar yang terkandas di kampus, pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, jika pelajar dibenarkan pulang pada skala yang besar pada satu masa, ia mengundang kebimbangan penularan virus terbabit.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka SOP (prosedur operasi standard) yang mesti dipatuhi semua pelajar IPT (untuk pulang ke kampung halaman masing-masing).

“Saya merasakan perkara ini amat mendesak dan saya faham perasaan pelajar yang tidak dapat pulang. Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, saya khuatir pelajar ini akan berdepan tekanan, keresahan dan kebimbangan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

-Advertisement-

Lam Thye berkata, setiap pelajar yang dibenarkan pulang perlu menjalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan suhu badan dan pengesanan gejala.

Katanya, pelajar terbabit juga harus menjaga disiplin diri dengan mengamalkan penjarakan sosial, duduk di rumah dan tidak mengingkari PKP.

“Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk semua pelajar dan saya berharap supaya mereka bersabar serta mematuhi SOP ditetapkan MKN,” katanya.

Ismail Sabri pada sidang media hariannya di Putrajaya semalam, memaklumkan MKN sedang merangka SOP mesti dipatuhi semua pelajar IPT ketika kembali ke pangkuan keluarga, apabila dibenarkan berbuat demikian.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan kepulangan kira-kira 100,000 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing selepas memperhalusi SOP yang perlu dipatuhi.

Jelasnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan (KKM) dalam perbincangan dengan MKN bagi menyediakan SOP berkenaan. -BH

Share this Article
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares