Misteri dua boeing 747 di kawasan lapang

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Kewujudan dua kapal terbang jenis Boeing 747 yang diletakkan di kawasan lapang berdekatan Taman Kempas Utama menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar, di sini.

-Advertisement-

Malah, kedudukan boeing 747 yang diletakkan bersebelahan dengan jalan raya besar juga boleh dilihat oleh pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, berkata beliau sememangnya maklum mengenai keberadaan dua kapal terbang itu sejak awal tahun lalu.

Katanya, difahamkan boeing terbabit milik syarikat logistik kargo dan diletakkan di tanah milik syarikat itu.

“Sudah lama kapal terbang ini diletakkan di kawasan terbabit yang juga difahamkan, tanah milik syarikat tuan punya dua kapal terbang itu.

-Advertisement-

“Saya difahamkan kapal terbang itu akan dijadikan restoran yang berkonsep seumpamanya. Tetapi sejak awal tahun 2019, ia masih berada di situ tanpa sebarang perkembangan.

“Setakat ini kewujudan dua boeing itu tidak menganggu dan menimbulkan kegusaran orang ramai. Tetapi mungkin menimbulkan tanda tanya kenapa ia ada disitu,“ katanya ketika dihubungi.

Osman berkata, namun sekiranya benar boeing itu hendak dijadikan restoran, itu adalah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi kelulusan.

“Pada saya kalau betul hendak buat restoran, mereka perlu ikut prosedur yang ditetapkan PBT.

Terdahulu, video berdurasi dua minit 28 saat yang memaparkan dua unit boeing 747 di kempas menjadi tanda tanya, video yang dipercayai diambil menggunakan dron turut menjadi tular. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share