Kedudukan Malaysia dalam isu Laut China Selatan konsisten

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menegaskan kedudukan negara dalam isu Laut China Selatan terutama perkara pertindihan wilayah maritim adalah jelas dan konsisten.

-Advertisement-

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, memandangkan isu tersebut amat rumit dan sensitif, semua pihak disaran bekerjasama bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan Laut China Selatan.

Menurutnya, negara terlibat juga perlu meningkatkan usaha bagi memastikan kepercayaan dan keyakinan bersama dapat dikekalkan.

“Malaysia berpegang kepada pandangan bahawa Laut China Selatan seharusnya kekal aman menjadi laluan pedagang. Oleh itu apa-apa isu melibatkan Laut China Selatan seharusnya diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya menyedari situasi berlaku di wilayah tersebut. Kita semua harus mencegah kemalangan di rantau itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

-Advertisement-

Selain itu, Hishammuddin menjelaskan walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan berlayar kepada kapal-kapal, namun kehadiran kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan tekanan dan akhirnya boleh mengakibatkan kesilapan yang akan menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

“Pendirian kita ialah semua pertindihan perlulah diselesaikan di atas meja rundingan menggunakan diplomasi dan saling mempercayai.

“Walaupun kita tidak mengeluarkan kenyataan awam, ia tidak bermaksud kita tidak melakukan apa-apa. Kita berterusan berkomunikasi dengan pihak berwajib termasuklah dari China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, dilaporkan beberapa kapal perang Amerika Syarikat berada di laut Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Sarawak bagi memantau kapal Pesisir Pantai China yang datang ke kawasan itu.

-Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share