UM sedia SOP hantar pelajar balik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) sudah menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) penghantaran pulang pelajar yang masih berada di asrama dalam kampus dan luar kampus jika proses itu dibenarkan kerajaan.

-Advertisement-

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof Dr Abdul Aziz Abdul Raman, berkata SOP berkenaan disiapkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan jumlah pelajar terkandas adalah seramai 1,562 orang termasuk 386 dari Sabah dan Sarawak.

“BHEP sentiasa berhubung dengan pelajar terbabit setiap hari melalui felo dan pegawai bertugas bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan dan masalah mereka. UM juga berhubung rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya kepada BH, semalam.

Beliau memaklumkan, rata-rata pelajar UM yang terkandas akibat PKP bagaimanapun dilihat tidak begitu terdesak untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dan faham arahan kerajaan yang bertujuan menjaga kepentingan dan keselamatan semua pihak.

“Memang rata-rata mereka berharap dapat pulang ke kampung terutama menjelang Ramadan, tetapi ia tidaklah begitu mendesak dan mereka memahami arahan PKP. Bagi kes tertentu yang membabitkan tekanan emosi, BHEP akan mengendalikannya secara berasingan dengan bantuan pegawai psikologi,” katanya.

Di Alor Setar, seramai 4,200 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang masih berada di kampus sejak PKP dikuatkuasakan lebih sebulan lalu, kini menunggu masa untuk pulang ke kampung masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata semua pelajar terbabit menyatakan kerinduan mereka kepada keluarga dan mahu pulang jika dibenarkan berbuat demikian.

Beliau yang yakin kerajaan akan membenarkan pelajar terbabit pulang ke kampung dalam masa terdekat berdasarkan situasi kes COVID-19 di Kedah ketika ini, memaklumkan UUM akan menyediakan bas untuk tujuan berkenaan.

-Advertisement-

“Semuanya bergantung pada keadaan dan kami bersedia membantu pelajar yang masih berada di kampus pulang ke kampung. Kami akan sediakan bas untuk hantar pelajar Pantai Timur pulang, manakala pelajar Sabah dan Sarawak pula akan dihantar ke lapangan terbang,” katanya.

Ahmad Bashawir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan 200 topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Di Kota Bharu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail ketika dihubungi semalam, berkata pihaknya maklum dengan keinginan pelajar untuk kembali ke kampung halaman, terutama bagi menyambut Ramadan yang bermula Jumaat ini.

“Pengurusan universiti sudah ambil data setiap pelajar dan merekodkan destinasi kampung halaman mereka bagi memudahkan urusan penghantaran pulang jika ia diluluskan oleh kerajaan kelak. Kami buat persiapan awal bagi memudahkan penghantaran dan meringankan tugas KPT.

“UMK memikirkan kebajikan dan keselesaan pelajar, tetapi akan akur apa juga keputusan dan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti yang pastinya untuk kebaikan semua,” katanya.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed pula menjelaskan, pihaknya juga sudah merangka SOP bersesuaian untuk menghantar pulang pelajar jika dibenarkan kerajaan.

“SOP bersesuaian perlu bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran di seluruh negara apabila pelajar yang berjumlah ribuan orang dibenarkan pulang. Buat masa ini, 79 pelajar UiTM Machang berada di kolej kediaman dalam kampus dan 30 pelajar lagi di rumah sewa.

“Kebajikan mereka terjaga, diberikan makanan mencukupi dan pembelajaran dalam talian juga sudahpun bermula. Kami akan mengikut arahan dan saranan KPT dan MKN,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share