Bintang Chelsea menangis Mourinho dipecat

Estimate Reading Time: < 1 minute

LONDON: Legenda Chelsea, John Terry mengakui dia dan beberapa lagi bintang The Blues menangis ketika mereka diberitahu mengenai pemecatan Jose Mourinho pada 2007.

-Advertisement-

‘The Special One’ ditunjukkan pintu keluar hanya beberapa minggu selepas memasuki musim keempat bersama kelab London itu.

Ketika itu, Mourinho melalui pengalaman yang menyaksikan pasukan bimbingannya gagal mempertahankan gelaran liga dan bergelut dengan prestasi tidak menentu bagi merampasnya semula.

Keputusan seri 1-1 menentang Rosenborg dalam aksi Liga Juara-Juara menjadi perlawanan terakhir buat Mourinho yang dipecat biarpun berjaya merangkul lima gelaran juara dalam tempoh tiga tahun.

Terry antara pemain yang rapat dengan Mourinho selain Frank Lampard dan Didier Drogba.

Bekas kapten Chelsea itu mendedahkan dia dan rakan sepasukannya sangat beremosi susulan pemecatan itu sehingga mereka merayu kepada ahli lembaga pengarah untuk mempertimbangkan kembali keputusan berkenaan.

-Advertisement-

“Kami semua menangis. Ia adalah detik yang mana kami gagal beraksi dengan baik. Mourinho datang kepada kami dan mengatakan yang dia dipecat.

“Selepas itu dia memeluk semua pemain dan memberikan kata-kata semangat.

“Ketika itu kami berfikir bagaimana kami mahu melangkah ke hadapan kerana kami sudah menganggap Mourinho sebagai seorang bapa.

“Kami bercakap kepada ahli lembaga pengarah yang kami mahu dia kekal. Kami katakan yang keputusan pemecatan Mourinho dibuat secara terburu-buru.

“Kami tegaskan yang dia adalah pengurus terbaik pernah kami bekerjasama. Namun, rayuan kami tidak didengari,” kata Terry kepada Sky Sports.

Mourinho bagaimanapun kembali ke Stamford Bridge pada 2013 dan membawa kelab itu memenangi gelaran juara liga dua tahun kemudian sebelum dia sekali lagi dipecat pada 2015. – Agensi

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share