Petronas dijangka bayar dividen lebih besar biayai pakej rangsangan RM260 bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara Petronas sedang menimbangkan untuk menaikkan dividen tahun ini bagi membantu kerajaan membiayai pakej rangsangan RM260 bilion (AS$60 bilion), menurut sumber yang mengetahui mengenai perkara itu.

-Advertisement-

Petronas, atau Petroliam Nasional Bhd, boleh menambah bayaran sebanyak RM10 bilion (AS$2.3 bilion), kata salah seorang sumber yang enggan dikenali kerana maklumat itu bersifat sulit. Syarikat itu sebelum ini mengumumkan akan membayar dividen berjumlah RM24 bilion tahun ini.

Bayaran lebih tinggi itu akan membantu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membiayai pakej rangsangan kerajaan sebanyak RM260 bilion, yang bertujuan menyokong ekonomi yang berdepan kegawatan berikutan kesan pandemik Covid-19 dan kejatuhan harga minyak.

Walaupun dengan rangsangan itu, Bank Negara (BNM) menjangkakan keluarna dalam negara kasar (KDNK) akan menyusut sebanyak 2% atau tumbuh sebanyak 0.5% tahun ini.

Perbincangan mengenai tambahan dividen masih berjalan, kata sumber terbabit.

Sebarang dividen tambahan, yang perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah, perlu menimbangkan beberapa faktor, termasuk keperluan pembiayaan operasi dan kemampuan membayar hutang dan kewajiban lain, kata seorang wakil Petronas melalui e-mail kepada Bloomberg News.

-Advertisement-

Petronas diminta membayar dividen RM54 bilion tahun lalu, termasuk bayaran khas RM30 bilion, ketika kerajaan berusaha mengurangkan defisit belanjawan setelah menyemak semula dasar cukai pengguna.

Peningkatan bayaran tahun ini berlaku setelah syarikat itu menjual bon AS$6 bilion bulan ini, tawaran terbesar oleh sebuah syarikat di Asia pada 2020.

Fitch Ratings menyemak semula penilaian terhadap Petronas daripada stabil kepada negatif, tetapi mengekalkan penarafan A- yang diberikan pada 14 April.

Syarikat minyak negara itu memiliki pegangan tunai sebanyak RM123 bilion berbanding jumlah hutang sekitar RM55 bilion pada akhir 2019.

Kerajaan dijangka menyokong syarikat itu dalam mengekalkan profil kredit yang sihat kerana kepentingannya kepada hasil negara, kata Fitch dalam laporan itu.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share