PKP: Fasa ke-4 matikan virus

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini diyakini bertujuan untuk ‘mematikan’ wabak COVID-19 yang masih berada dalam kalangan komuniti atau dirujuk sebagai kes sporadik.

-Advertisement-

Pertambahan tempoh dua minggu lagi dalam PKP fasa keempat juga disifatkan peluang untuk membudayakan corak kehidupan mengikut kebiasaan baharu bagi memastikan penjarakan sosial dan kepentingan menjaga kebersihan terus dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, menjangkakan sasaran Kementerian Kesihatan untuk merekodkan angka tunggal dalam kes baharu berupaya dicapai, namun ia bukan tugas mudah.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan harapan kerajaan dan kementerian berkaitan apabila melanjutkan tempoh PKP sebenarnya lebih terarah kepada sasaran untuk ‘mematikan’ virus COVID-19 dalam komuniti.

“Kalau kita boleh rekodkan tiada jangkitan langsung dalam tempoh dua minggu setengah (memasuki PKP fasa keempat) ini, maka ia keadaan yang sangat ideal.

“Bermaksud, tiada lagi virus dalam badan mana-mana individu, namun persoalannya sama ada andaian sedemikian betul atau tidak?

“Hal ini kerana kita belum melakukan ujian kepada orang lain, membabitkan jumlah menjangkau jutaan individu di Malaysia, malah timbul kerisauan mengenai status kesihatan kumpulan pendatang tanpa izin dan buruh asing.

“Jika mereka ini (warga asing) tidak disaring dan dibenarkan kembali bekerja, saya risau ia akan cetuskan penularan serta kluster baharu seperti yang berlaku di Singapura,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, pula berkata lanjutan tempoh PKP adalah peluang untuk masyarakat ‘berevolusi’ kepada amalan gaya hidup mengikut kebiasaan baharu.

-Advertisement-

Selain itu, katanya, pertambahan 14 hari dalam PKP fasa keempat berupaya digunakan untuk ‘memburu’ kemungkinan kluster dan subkluster jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

“Lanjutan ini sebenarnya pendekatan serampang dua mata, iaitu untuk beri peluang masyarakat biasakan diri dengan corak kehidupan berteraskan norma baharu dan kesempatan untuk petugas kesihatan membasmi wabak COVID-19 secara keseluruhan.

“Berdasarkan perbincangan kami dalam kalangan pakar, termasuk membabitkan epidemiologi, PKP berkemungkinan dilanjutkan lagi sehingga selepas Aidilfitri kerana perayaan ini lazimnya menyaksikan aktiviti saling berkunjung dan ramah mesra dilakukan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

“Oleh itu, saya menyokong keputusan untuk melanjutkan lagi PKP supaya kita dapat pastikan virus ini betul-betul tiada dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan perkiraan mengikut rekod semasa penularan COVID-19, pakar virologi dari UM, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, menaruh keyakinan angka tunggal dalam kes baharu berupaya dicatatkan menjelang akhir minggu ke-15, iaitu apabila PKP fasa keempat tamat pada 12 Mei ini.

Beliau berkata, unjuran positif itu bagaimanapun harus menitik beratkan kemungkinan kes individu yang dijangkiti dan berada dalam komuniti, tetapi tidak mempunyai gejala.

“Kerajaan Selangor sebelum ini melaporkan sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah individu yang disaring secara rawak didapati positif COVID-19, bermaksud dua daripada 1,000 orang mempunyai wabak ini tanpa mereka sedari.

“Selain itu, kita bimbang dengan ‘lokasi tersorok’ lubuk kes COVID-19 seperti Malayan Mansion, Selangor Mansion dan beberapa tempat lagi yang menjadi penempatan majoriti warga asing.

“Kalau kes di tempat seperti ini tidak ditangani di peringkat awal menerusi saringan secara besar-besaran, maka PKP akan terus dilanjutkan,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share