PKP: Patuhi jadual imunisasi anak

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan ibu bapa untuk mematuhi jadual imunisasi anak mereka dengan mendapatkan suntikan vaksin di klinik berdekatan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-Advertisement-

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan ibu bapa disarankan menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan oleh petugas kesihatan.

Katanya, kelewatan penerimaan imunisasi boleh meningkatkan risiko pendedahan bayi dan kanak kanak terhadap penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio.

“Pihak kementerian menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi serta penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak- kanak ke klinik kesihatan bagi tujuan imunisasi disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus COVID-19.

“(Kelewatan menerima suntikan vaksin) boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung.

“Justeru, KKM ingin menegaskan, program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan elakkan dari keciciran imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata bagi ibu bapa yang kini berada di kampung hendaklah membuat temujanji imunisasi anak mereka di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan dengan tempat mereka.

-Advertisement-

“Dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisasi kanak-kanak perlu diteruskan bagi mengekalkan imuniti kelompok yang tinggi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, imunisasi sudah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan efektif dalam mengurangkan kematian penyakit cegahan vaksin.

“Sejarah dan fakta membuktikan bahawa imunisasi sudah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia. Bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti measles (campak) dan polio.

“Malaysia juga turut dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember tahun lalu selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit berkenaan.

“Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio serasi (compatible) yang menepati ciri klinikal penyakit polio di mana kesemua kes ini berlaku di Sabah,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, bagi kes campak atau measles pula, terdapat penurunan kes berkenaan iaitu 1,077 kes pada tahun lalu berbanding 1,958 kes pada tahun 2018 di seluruh Malaysia.

“Namun, bagi kes kematian jumlah dilihat meningkat dengan 15 kematian pada tahun 2019, berbanding enam kematian pada tahun 2018.

“Sebanyak 915 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada tahun lalu yang meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada tahun 2018 manakala sebanyak 16 kes difteria dicatatkan dengan enam kematian pada tahun 2019 berbanding tahun 2018 iaitu 18 kes dilaporkan dengan enam kematian pada tahun berkenaan.

“Majoriti kes terbabit tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku dalam kalangan bayi yang belum sampai umur atau layak untuk menerima suntikan vaksin,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share