Harga gas memasak tidak sama dengan gas asli

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Rujukan ke atas harga gas asli dunia tidak boleh dijadikan asas bagi penetapan harga gas cecair petroleum (LPG) di negara ini.

-Advertisement-

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata harga LPG atau gas memasak ditetapkan secara bulanan berdasarkan Harga Kontrak Saudi Aramco.

Katanya, LPG dan gas asli adalah dua produk yang berbeza.

“Di Malaysia, LPG terdiri daripada komponen butana dan propana manakala komponen bagi gas asli

ialah metana.

” Oleh itu, rujukan ke atas harga gas asli dunia tidak boleh dijadikan asas bagi penetapan harga LPG,” katanya kepada BH mengulas harga gas memasak atau LPG yang masih kekal pada harga lama walaupun harga gas asli dunia kini turun.

Ketika ini, harga runcit LPG adalah RM1.90 sekilogram (kg) atau RM19 bagi silinder 10kg, RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 bagi silinder 14kg.

Alexander menjelaskan harga runcit LPG kini ditetapkan dan telah diwartakan pada kadar RM1.90/kilogram (kg).

“Harga sebenar pasaran LPG adalah lebih tinggi daripada harga yang diwartakan ini.

“Pada ketika ini, kerajaan sedang menanggung perbezaan harga itu melalui subsidi. Harga yang dibayar oleh pengguna sebenarnya lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata, jumlah subsidi LPG yang ditanggung kerajaan bagi 2019 adalah sebanyak RM1.675 bilion manakala tahun ini sehingga Februari lalu adalah sebanyak RM394 juta.

Mengulas lanjut, katanya harga purata sebenar LPG ialah RM3.39/kg bermakna untuk tong gas memasak 14kg, harga sebenar ialah RM47.46.

Beliau berkata, ketika ini pengguna hanya membayar RM26.60 setong.

“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM20.68 setong. Pengiraan ini merujuk kepada harga LPG Januari hingga Mac.

“Harga runcit LPG ini ditetapkan kerajaan dan diwartakan melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 adalah RM1.90 sekilogram.

“Harga runcit bagi tong/selinder LPG 12 kg pula adalah RM22.80 manakala 14kg adalah RM26.60.

“Harga jualan bagi tong 12kg adalah RM22.80 dengan pengguna ambil sendiri di kedai.Sekiranya harga jualan hantar ke rumah pengguna melebihi harga yang diwartakan, ianya adalah termasuk caj pengangkutan,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika tong gas dihantar ke rumah pembeli dan ada caj pengangkutan atau penghantaran, penjual perlu menyatakan dengan jelas harga jualan runcit LPG dan caj penghantaran sama ada di premis perniagaan atau dalam resit jualan.

“Tanpa penjelasan, tindakan boleh diambil,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares