Pinjaman buku digital meningkat sepanjang PKP

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pinjaman buku digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meningkat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani berkata, pada Mac, hampir 40,000 buku digital perpustakaan itu dipinjam berbanding purata kira-kira 15,000 pada bulan-bulan biasa.

Menurutnya, pendaftaran keahlian baharu untuk u-Pustaka dan pengunjung portal perpustakaan itu pula meningkat mendadak sepanjang PKP.

“Statistik pendaftaran keahlian dan pengunjung portal menunjukkan peningkatan semasa PKP ini. Sehingga 21 April 2020, jumlah kumulatif ahli u-Pustaka adalah seramai 501,295.

“Semasa PKP sahaja, pendaftaran keahlian mencecah 22,982 ahli. Pendaftaran keahlian tertinggi adalah semasa permulaan PKP iaitu mencecah 6,069 pendaftaran dalam masa satu hari (19 Mac),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Aidatul Hasnida berkata, pilihan bahan bacaan masyarakat adalah pelbagai, bergantung kepada minat dan keperluan maklumat yang diperlukan namun ketika PKP, pinjaman buku digital adalah lebih kepada bahan bacaan berbentuk fiksyen.

“PNM dari semasa ke semasa sentiasa cuba memperbanyakkan bahan bacaan digital untuk diakses oleh rakyat Malaysia. Antara inisitif yang dilaksanakan adalah dengan menambah bilangan bahan bacaan digital setiap tahun.

“Di samping itu, PNM melalui projek u-Pustaka sebagai hab maklumat negara telah berjaya mendigitalkan sebanyak 1.7 juta muka surat bahan bacaan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir serta koleksi negara yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka,” katanya.

Beliau berkata, PNM berharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan melalui u-Pustaka.

“Bagi mencapai hasrat ini, kami amat mengalu-alukan keterlibatan perpustakaan di Malaysia untuk turut sama menggalakkan penggunaan perkhidmatan u-Pustaka dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia menyasarkan pembangunan ekonomi berstruktur semula berlandaskan ilmu yang bernilai tinggi di semua peringkat masyarakat. Melalui u-Pustaka, kami menyediakan pelbagai maklumat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan dalam pelbagai subjek serta boleh diakses di mana-mana sahaja oleh rakyat Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares