COVID-19: Kelantan beransur pulih, tiada kes aktif

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kelantan yang sebelum ini mempunyai 155 kes positif COVID-19, semakin beransur pulih apabila tiada kes aktif dilaporkan di negeri berkenaan.

-Advertisement-

Bagaimanapun, negeri itu hanya boleh dikategorikan sebagai zon hijau atau kawasan bebas penularan COVID-19 selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh dua minggu seperti di Perlis.

Menerusi infografik yang dikongsi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), Perak juga dilihat beransur pulih apabila hanya ada dua kes aktif iaitu masing-masing satu kes di Kinta dan Manjung.

Kedah juga dilihat beransur pulih dari kawasan wabak penularan COVID-19 apabila hanya ada empat kes aktif iaitu dua di kes di Kota Setar, dan masing-masing satu kes di Kuala Muda dan Kubang Pasu, setakat jam 12 tengah hari semalam.

Kuala Lumpur masih menjadi wilayah tertinggi mempunyai kes aktif COVID-19 iaitu 484 kes dicatat sehingga semalam, dengan Lembah Pantai mendahului dengan 298 kes aktif.

Hanya Cheras berada dalam zon jingga di ibu negara dengan 33 kes aktif, manakala lain-lain kawasan dan daerah di wilayah berkenaan kekal dalam zon merah iaitu Kepong sebanyak 91 kes dan Titiwangsa (62).

-Advertisement-

Sehingga kini, sebanyak 12 daerah masih dikategorikan sebagai zon merah iaitu Petaling dengan 46 kes, Hulu Langat (72), Melaka Tengah (48), Seremban (74), Kuantan (42), Johor Bahru (44) dan Kluang (84).

Di Sarawak, dua kawasan masih di zon merah iaitu Kuching dengan 165 kes aktif dan Kota Samarahan yang mencatat 68 kes.

Setakat ini, Malaysia mencatat 5,851 kes dan daripada jumlah itu, seramai 4,032 individu sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 1,719 kes masih aktif iaitu 36 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 100 kematian atau 1.7 peratus daripada keseluruhan kes dicatat di negara ini berikutan wabak COVID-19. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share