COVID-19: Pesakit trauma akibat cemuhan netizen

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Setiap kali terbaca mengenai identiti pesakit COVID-19 yang didedah serta ditularkan menerusi media sosial, bekas pesakit wabak itu, Ching (bukan nama sebenar) amat terkesan dan memahami perasaan mangsa.

-Advertisement-

Manakan tidak, beliau pernah melalui detik hitam itu apabila dirinya disahkan positif COVID-19, kira-kira dua bulan lalu.

Perkara yang amat ditakuti dan membebankan Ching ketika itu, bukan saja keadaan kesihatan dirinya tetapi juga persepsi masyarakat terhadap beliau serta keluarga.

Meskipun kini sudah pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal, Ching, 33, masih trauma tatkala mengenangkan pengalaman pahit sebagai pesakit COVID-19 yang pernah menjadi mangsa cemuhan netizen.

“Netizen mencaci, menghina dan memarahi pesakit (COVID-19) seolah-olah pesakit melakukan kesalahan besar. Apa salah kami sampai dihukum sebegitu?” soal Ching setiap kali membaca cemuhan terhadap pesakit COVID-19 dalam media sosial.

Ching yang juga seorang eksekutif pemasaran, tidak menyangka kepulangannya dari China untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lalu, bertukar menjadi mimpi ngeri.

Beliau mula mengalami sakit tekak dan demam dua hari selepas pulang ke tanah air.

Demamnya tidak kebah selama lima hari menyebabkan beliau menjalani ujian saringan di sebuah hospital di Selangor.

“Keesokan harinya pada 7 Februari, saya disahkan positif COVID-19,” katanya kepada Bernama sambil menambah berita itu begitu cepat tersebar dalam kalangan kawan sebelum beliau sempat memberitahu anggota keluarga sendiri.

Sungguh tidak disangka, sepatutnya sokongan dan kata semangat diharapkan daripada kawan, namun cemuhan dan kata-kata sinis yang diterima beliau.

“Kau dah kena COVID-19?”, itu antara mesej WhatsApps yang diterima ketika beliau dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. Mesej berkenaan membuatkan beliau terkedu, kecewa dan tidak mampu membalasnya.

Ching berkata, sepanjang menerima rawatan di hospital, ada kawan yang menghubunginya untuk bertanyakan khabar dan ada juga memaklumkan bahawa kes beliau itu ditularkan netizen, termasuk mendedahkan identiti beliau dan keluarga dalam media sosial.

“Saya cuba untuk tidak melayari Facebook (FB), namun semua itu bukannya mudah. Saya sering terkejut daripada tidur, trauma dengan apa yang terjadi terhadap diri ini, dan pernah terfikir untuk melarikan diri dari wad,” katanya yang turut risau akan keadaan ibu bapanya di kampung ketika itu.

Namun, katanya, beliau berusaha mengawal perasaan dan berfikiran waras kerana bukan saja sedang berperang dengan virus COVID-19 tetapi juga melawan persepsi negatif serta stigma masyarakat terhadap pesakit wabak itu.

Menyedari betapa ‘berkuasanya’ fitnah serta tohmahan dilontarkan oleh netizen, terutama ketika penularan pandemik COVID-19, beliau bertekad untuk pulih mengharungi dugaan ini.

Ching juga bernasib baik kerana sentiasa mendapat dorongan dan kata-kata semangat daripada petugas hospital yang membuatkan beliau lebih cekal.

-Advertisement-

“Meskipun saya kini sudah sembuh, masih ada jiran dan orang kampung melabelkan saya sebagai ‘pesakit yang pulang dari China’, @ ‘super spreader COVID-19’,” katanya sambil menambah ada juga rakan bergurau agar jangan mendekati beliau.

Mengulas stigma berkaitan COVID-19, pakar khidmat kaunseling dan psikologi bebas, Dr Wong Kok Fye, berkata budaya diskriminasi terhadap pesakit boleh memburukkan lagi keadaan, termasuk menjejaskan tahap kesihatan mental mereka.

Beliau berkata, kebanyakan netizen yang bertindak menular atau mendedahkan identiti pesakit COVID-19 adalah kerana rata-ratanya tidak dapat mengawal emosi dan perasaan marah.

“Ia secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kejadian buli siber terhadap pesakit COVID-19. Pesakit bukan sahaja derita dengan penyakit tetapi turut menghadapi tekanan perasaan dan mental.

“Apabila keadaan mental pesakit semakin serius, ada yang mungkin sanggup membunuh diri ataupun mempunyai kecenderungan ‘membalas dendam’ dan menjadi seorang ‘pembuli siber’ kerana mahu orang lain turut merasai sengsaranya dibuli,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa hakikatnya, pesakit COVID-19 amat memerlukan sokongan moral bagi memulihkan kesihatan fizikal dan mental mereka, selain bergantung pada ubat-ubatan.

Dr Wong berkata, stigma terhadap penyakit COVID-19 juga menyebabkan ada pesakit yang bergejala, tidak mahu menjalani saringan kesihatan kerana khuatir akan didiskriminasi oleh masyarakat.

“Jika dibiarkan berlarutan, situasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan, malah menyukarkan usaha membendung penularan wabak COVID-19 kerana pesakit enggan memberi kerjasama kepada barisan hadapan seperti tidak mahu dikuarantin ataupun berjumpa doktor akibat stigma itu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, penting untuk media melaporkan berita yang dapat memberi motivasi kepada pesakit COVID-19 ataupun pesakit dalam siasatan (PUI) yang sedang dikuarantin.

“Misalnya, berita bekas pesakit COVID-19 yang menderma plasma darah bagi membantu menghasilkan vaksin wabak itu, begitu mendapat reaksi positif masyarakat.

“Berita seperti ini bukan sahaja dapat memotivasikan pesakit, malah mereka akan sudi bekerjasama dan seterusnya menggalakkan bekas pesakit menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Seterusnya, Dr Wong turut mencadangkan individu yang mempunyai gejala wabak COVID-19 agar tidak segan untuk mendapatkan rawatan.

“Jangan fikir mengenai persepsi masyarakat. Yang penting, mereka perlu menjalani rawatan bagi membantu mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa talian hotline sokongan emosi dan psikososial disediakan bagi membantu individu yang mengalami gangguan emosi atau tekanan perasaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang kali pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, kini memasuki fasa keempat bermula 29 April dan dijadualkan berakhir pada 12 Mei depan.

Antara talian berkenaan ialah Mercy Malaysia serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melalui talian 03-29359935; Talian Kasih Hotline, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di 15999 atau WhatsApp 019-261 5999; talian hotline Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di 03-79563488 atau WhatsApp 018-9888058.

-BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share