Wanita rugi RM205,000 diperdaya sindiket Telephone Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS: Seorang wanita berusia 39 tahun sanggup membuat pinjaman bank berjumlah RM205,000 untuk mengelak dirinya dari ditahan polis susulan dakwaan dia akan ditangkap berkaitan kes judi dalam talian.

-Advertisement-

Bagaimanapun semuanya berubah menjadi mimpi ngeri apabila dia diperdaya sindiket Telephone Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian bermula pada November tahun lalu, ketika mangsa yang juga seorang penjawat awam menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

“Pegawai itu memberitahu bahawa maklumat peribadi mangsa digunakan untuk pendaftaran judi dalam talian sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada seorang polis berpangkat Inspektor.

“Inspektor itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai satu waran tangkap dan memintanya membuka satu akaun bank dengan mendaftarkan nombor talian yang diberikan.

“Inspektor itu juga memberitahu kes itu perlu cepat diselesaikan jika tidak mangsa akan ditahan polis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Noorzainy berkata, mangsa yang dalam ketakutan membuat pinjaman dengan dua bank pada Januari lalu dan membuka akaun seperti yang diarahkan suspek dan memindahkan semua wang yang dipinjamnya berjumlah RM205,000 pada Februari lalu.

“Selepas itu mangsa memberikan kesemua maklumat akaun baharu itu kepada suspek dan ketika memeriksa akaun terbabit didapati semua wang yang dipinjamnya sudah tiada.

“Mangsa tersedar dirinya ditipu dan terperangkap dengan tipu helah suspek selama berbulan-bulan lalu datang membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noorzainy berkata, disebabkan terlalu takut dipenjarakan, mangsa membuat pinjaman bank selepas suspek memaklumkan wang itu bagi menjamin mangsa di mahkamah.

Katanya, orang awam dinasihati supaya berhati-hati dan mengabaikan panggilan daripada nombor tidak diketahui apatah lagi sindiket penipuan siber didapati berleluasa mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares