15,597 pekerja diberhentikan, dikurangkan gaji di Johor

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor (JTKNJ) menerima permohonan pemberhentian kerja dan pengurangan gaji daripada 398 majikan melibatkan 15,597 pekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

-Advertisement-

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, permohonan pemberhentian kerja itu melibatkan pemberhentian tetap sebanyak 1,443; pemberhentian sukarela (180); pemberhentian sementara (2,864) dan pengurangan gaji (11,110).

“Ini selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui Borang Pemberhentian Kerja (PK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, bagi memastikan majikan mematuhi peraturan semasa PKP, JTKNJ mewujudkan Skuad Khidmat Cepat (SKC) untuk mengendalikan aduan secara bersama-sama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) berdasarkan bidang kuasa jabatan masing-masing.

Katanya, antara langkah diambil adalah dengan menghubungi majikan yang mendapat aduan sebelum memberi nasihat untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Jelasnya, sekiranya majikan masih gagal untuk mematuhi arahan tersebut, Pasukan Petugas Khas (PPK) akan memanggil majikan untuk hadir ke pejabat bagi tujuan pematuhan arahan yang dikuat kuasa.

-Advertisement-

Jika terus ingar arahan katanya, Pasukan Petugas Khas (PPK) dikehendaki membuat lawatan ke atas premis majikan dan sekiranya perlu boleh melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan Akta 342.

Pada masa sama katanya, pemerhatian dan pemantauan dilakukan terhadap majikan dan Syarikat Penyedia Penginapan Berpusat (CLQ) yang terlibat secara langsung dalam mengurus tempat kediaman bagi pekerja asing yang ada di Johor.

Menurutnya, sebanyak 26 Penginapan Berpusat (CLQ) yang diperakui JTKNJ telah diberi edaran berkenaan Garis Panduan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) dalam tempoh PKP bagi memastikan tiada penularan koronavirus (Covid-19) kepada pekerja asing yang tinggal di hostel.

“Bagi majikan yang menyediakan penginapan sendiri turut diberi khidmat nasihat daripada pihak jabatan agar sentiasa mementingkan aspek kebersihan di kawasan penginapan pekerja dan sentiasa menjaga jarak sosial di antara pekerja,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, sehingga kini sebanyak 110 premis digazetkan sebagai stesen kuarantin di negeri ini terdiri daripada institut latihan awam (ILA) dan premis penginapan pelancongan (PPP).

“Sejumlah 57 pusat kuarantin telah diaktifkan dan 43 daripadanya terdiri daripada PPP atau hotel yang merangkumi sebanyak 33 hotel di daerah Johor Bahru, enam hotel di Kota Tinggi, dua hotel di Batu Pahat dan setiap satu hotel di Kulai dan Mersing,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares