Kebergantungan terhadap tenaga buruh asing diperhalusi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melihat semula dasar tenaga buruh asing yang ketika ini berjumlah kira-kira 2.3 juta orang di negara ini susulan pelbagai kesukaran yang dialami mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bilangan buruh asing ini mungkin akan dapat dikawal, sekali gus membuka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Meskipun begitu kita menyedari keperluan industri tertentu terhadap buruh asing bagi memenuhi tuntutan ekonomi,” katanya dalam program Bicara Naratif: Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 di TV1 RTM, malam tadi.

Sementara itu, Mustapa berkata, pembukaan sektor ekonomi tertentu sepanjang Perintah Kawalan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini dapat dapat mengelakkan ekonomi mengundur empat tahun ke belakang.

Menurutnya, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil ekonomi akan sama seperti yang dicapai pada 2016 dan pendapatan perkapita turun kepada AS$9,000 berbanding AS$12,000.

“Pandemik yang melanda Malaysia dan dunia ini sangat bersejarah dalam ekonomi moden. Justeru operasi perniagaan ini diharap dapat membendung penurunan ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, katanya, PKPB turut memberi ruang kepada rakyat untuk mendapat pekerjaan dan tidak bergantung kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), sekali gus meningkatkan kuasa beli.

“Kita sudah melandaikan keluk penularan Covid-19 tapi belum sepenuhnya, malah kesihatan tetap menjadi keutamaan.

“Sekarang kita masuk ke fasa mengerakkan semula ekonomi secara perlahan mengikut garis panduan ketat dan memerlukan disiplin tinggi,” katanya.

-Advertisement-

Pada 27 Mac lepas kerajaan mengumumkan Pakej Prihatin bernillai RM250 bilion untuk meringankan beban rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas akibat Covid-19 serta PKP.

Mustapa berkata, ada syarikat termasuk syarikat multinasional dalam sektor tekstil mengumumkan akan menghentikan operasi mereka kerana kurang mendapat permintaan dari negara-negara maju.

Menurutnya, perubahan strategi perniagaan oleh syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pengganguran.

“Sebab itu subsidi upah ditambah baik agar majikan dapat melindungi pekerjaan. Namun kita sedar kadar pulih tidak akan berlaku serta merta,” katanya.

Pada 6 April, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu melalui Pakej Prihatin dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion.

Bagi tempoh jangka masa panjang, Mustapa berkata, kerajaan sedang melihat semula industri-industri yang berkeupayaan untuk bersaing dan mengkaji insentif baharu bagi menggalakkan pelaburan asing dan tempatan.

Jaminan turut diberi terhadap pelaksanaan projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) supaya menjadi ‘game changer’ (pembawa perubahan) yang akan mengubah lansdkap ekonomi negara.

“Rancangan Malaysia Ke-12 serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan diberi perhatian.

“Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat diteruskan, tetapi ia hanya berlaku jika ada pertumbuhan ekonomi bermula sekarang,” katanya.

– Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share