Ubah format jimat kos

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perubahan format untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas dilanda ‘badai COVID-19’ tampak dapat memberikan penjimatan sekali gus melegakan sedikit beban kewangan setiap pasukan bertanding.

-Advertisement-

Situasi itu diakui Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Satianathan yang turut menyifatkan perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung kembali saingan pada September dengan format baharu sebagai langkah terbaik yang boleh diambil ketika pandemik itu.

“Saya puji perancangan MFL yang mahu meneruskan saingan liga kerana seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pembatalan liga akan memberi implikasi yang besar kepada semua pihak.

“Tetapi dengan perancangan baharu ini, walaupun kurang perlawanan berbanding tahun sebelumnya tetapi setidak tidaknya, ada penjimatan di situ sebagai contoh daripada kos penyewaan stadium, kos unit keselamatan kalau beraksi tanpa penyokong dan sebagainya.

“Untuk itu, saya harap lembaga stadium pun bolehlah membantu pasukan selepas saingan kembali berlangsung nanti. Mungkin mereka boleh bagi potongan harga apabila pasukan menyewa stadium untuk perlawanan,” katanya.

-Advertisement-

Dalam masa sama, pengendali Selangor itu turut melihat perancangan itu akan terus membantu skuad kebangsaan untuk mendapatkan aksi kompetitif sebagai persediaan untuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Oktober dan November nanti.

“Dengan adanya saingan liga, pemain kebangsaan dapat terus beraksi dan secara tidak langsung memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan juga,” katanya.

Terdahulu, ketika kerajaan hanya akan membenarkan saingan Liga M diteruskan pada Oktober ataupun November namun badan pengendali liga tampil dengan perancangan untuk menyambung kembali saingan domestik pada September.

Menerusi satu kenyataan, saingan Liga Super serta Liga Perdana akan bermula kembali pada 1 dan 2 September dengan saingan itu akan berakhir pada 26 dan 27 September membabitkan format separuh liga sahaja.

Tertakluk kepada arahan kerajaan, saingan Piala Malaysia juga akan dilangsungkan pada 17 dan 18 Oktober sebelum berakhir pada 7 November membabitkan format kalah mati tanpa perlawanan peringkat kumpulan manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

-BH

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares