Sabah kekal laksana PKP

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini.

-Advertisement-

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah memaklumkan pelaksanaan PKP akan diteruskan seperti diumumkan sejak awal.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji dan meneliti perkara berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita tidak boleh ikut begitu sahaja apabila suatu perkara itu diumumkan hari ini.

“Perlu ada persediaan terutamanya membabitkan sektor penting termasuklah makanan, perkhidmatan, pengangkutan dan industri minyak.

“Saya lihat keadaan ini perlu diteliti secara mendalam dan selepas itu kita akan maklumkan nanti langkah diambil. Ia tidak bererti kita tidak mengambil langkah ditetapkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada Yayasan OSIMAL, MSIC Life Insurance Berhad, Caring Pharmacy dan Klinik Perubata Kenson, di sini, hari ini.

Antara sumbangan diberikan ialah kelengkapan perlindungan peribadi (PPE).

Sementara itu, Mohd Shafie meminta Kerajaan Persekutuan memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung setiap keputusan dibuat.

“Kita hanya mengetahui keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan daripada media massa.

“Kerajaan negeri adalah pihak yang melaksanakan keputusan yang dibuat mereka. Kita harus melihat sama ada ia sesuai dengan keadaan sekeliling di setiap negeri.

“Oleh itu, kita meminta masa untuk persediaan sebelum membuat sebarang pelaksanaan,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share