Barcelona jangka rugi besar

Estimate Reading Time: < 1 minute

MADRID: Barcelona sudah kerugian 121 juta pound (RM648.21 juta) akibat pandemik COVID-19, kata naib presiden kelab gergasi Sepanyol itu Jordi Cardoner.

-Advertisement-

Kelab Catalan itu sudah kehilangan 44 juta pound (RM235.76 juta) daripada penjualan tiket perlawanan dan muziumnya, 34 juta pound (RM182.18 juta) daripada hak penyiaran dan 20 juta pound (RM107.17 juta) daripada aktiviti komersial termasuk kedai dan sekolah bola sepak.

Pemain-pemain Barcelona dikenakan pemotongan gaji sebanyak 72 peratus bagi meringankan beban kelab susulan perbincangan lembaga pengarah dengan kapten Lionel Messi, Sergio Busquets, Gerard Pique dan Sergi Roberto.

Ia membolehkan 500 kakitangan kelab yang bukan pemain terus menerima gaji penuh, tetapi Cardoner menjangkakan impak jangka pendek ke atas kewangan kelab tetap akan berlaku.

“Pendapatan kami merosot dengan teruk. Ini seperti yang kita ketahui hari ini. Jumlah ini akan menjadi kerugian kami pada hujung tahun nanti,” kata Cardoner.

-Advertisement-

Barcelona sebelum ini mengumumkan mereka akan menjual penjenamaan ke atas Camp Nou untuk tempoh setahun bagi mengumpul dana memerangi COVID-19.

Cardoner kini percaya kelab mungkin memerlukan tempoh perjanjian lebih panjang bagi membantu kewangan kelab.

“Ini sesuatu yang boleh anda tambah kepada perjanjian tahun ini: tambahan 25 tahun.

“Tahun pertama untuk coronavirus dan 25 tahun lagi untuk komersial, meletakkan jenama di Camp Nou. Mengapa tidak?” katanya.

Cardoner yang baru pulih daripada jangkitan COVID-19 turut memuji sikap pemain-pemain yang bersetuju membuat pemotongan gaji.

– AGENSI

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares