Syarikat bas persiaran rayu bantuan kerajaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 bukan sahaja mengancam kesihatan dan nyawa masyarakat, malah turut menjejaskan ekonomi dan punca rezeki pelbagai sektor ekonomi.

-Advertisement-

Tidak terkecuali pengusaha bas persiaran atau bas pelancong yang terkesan berikutan penularan wabak penyakit berjangkit itu.

Dahulu mereka merupakan ‘petugas barisan hadapan’ yang membantu melonjakkan industri pelancongan tempatan dengan membawa pengunjung termasuk dari luar negara, ke tempat-tempat menarik di negara ini, namun sejak Disember lalu, nasib mereka mula berubah.

Wabak COVID-19 menutup serapat-rapatnya periuk nasi industri itu yang mempunyai lebih 10,000 bas persiaran, ditambah pula menghadapi tekanan hebat daripada syarikat kredit untuk membayar pinjaman kenderaan itu.

Pengarah WSF Travel and Tours Sdn Bhd, Wan Shairi Wan Ahmad mendakwa berikutan tiada moratorium pinjaman diberikan terhadap bas persiaran menyebabkan sebahagian mereka tidak mampu bertahan, sehingga ada yang hampir bankrap.

“Kalau boleh kita minta tolong MOF (Kementerian Kewangan) untuk menstruktur balik (pinjaman bank) syarikat bas pelancongan dengan faedah pinjaman yang rendah, 1-2 peratus. Bayangkan syarikat ini dalam tiga atau empat bulan boleh ditutup kerana sebuah bas kita perlu bayar RM12,000-RM13,000,” katanya kepada Bernama TV baru-baru ini.

Wan Shairi juga merayu kepada kerajaan supaya menggunakan perkhidmatan bas persiaran untuk menghantar pulang pelajar yang masih terkandas di universiti ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata setakat ini tiada satu syarikat bas persiaran digunakan bagi tujuan itu, dan beliau meminta kerajaan membantu sektor berkenaan terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Sementara itu, Pengarah Dataran Travel and Tours, Abdul Aziz Ismail Gani, berkata pihaknya menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai pendapatan susulan permintaan terhadap perkhidmatan bas persiaran itu tiada langsung sejak penularan wabak berkenaan dalam negara.

“Susut nilai bas amat teruk. Kami nak jual pun tak ada orang nak beli bas kami. Hendak tak nak kami perlu teruskan bayar hutang (kenderaan) sampai habis ikut jadual,” katanya.

Pemilik GLX Travel & Tours, N Gunaratnam pula berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi Program Subsidi Upah, namun sehingga kini belum menerima pemakluman daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share