PKPB: Berbaloikah kita bersesak membeli-belah?

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat (PKPB), satu hakikat yang perlu diterima ia adalah tempoh yang sukar dengan ramai yang mengalami pelbagai masalah.

-Advertisement-

Namun jika semua asyik mahu bersenang-lenang sekarang, berkumpul, membeli-belah dengan senang hati, akibatnya mungkin kita terpaksa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan berikutan wabak COVID-19 masih menjadi ancaman di negara ini.

Satu persatu kluster COVID-19 muncul dengan yang terbaru dikesan adalah kluster melibatkan sebuah pusat beli-belah di Cheras di sini, namun dengan adanya PKP dan pelbagai perancangan membolehkan ia dikawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan setakat ini 10 kes positif dilaporkan dalam kluster berkenaan melibatkan sembilan warganegara Nepal dan seorang rakyat tempatan.

Walaupun punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun ia sesuatu yang perlu dipandang serius semua pihak bahawa jangkitan ini boleh berlaku di mana-mana, terutama di kawasan sesak seperti pusat beli-belah.

Sebagai rekod, setakat semalam, kes harian positif baharu nampaknya masih belum jatuh ke satu angka.

-Advertisement-

Malah, ia berlegar turun dan naik sekitar dua angka, daripada 30 kes empat hari lepas, kemudian 55 dan 39 semalam.

Apatah lagi dengan kelonggaran PKP ini dan juga proses rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas untuk pulang ke kediaman masing-masing yang bermula semalam, kita hanya mampu berharap semua orang boleh mengamalkan disiplin kendiri.

Seperti sebelum ini, kerajaan sentiasa mengingatkan bahawa penularan wabak ini masih berleluasa dan ia tertakluk kepada disiplin rakyat dalam memastikan ia benar-benar jatuh ke angka sifar.

Dr Noor Hisham juga menegaskan walaupun pihaknya mempunyai kemampuan dari segi kemudahan dan fasiliti, ia menjadi tanggungjawab sosial bersama bukan hanya Kementerian Kesihatan atau kerajaan tetapi rakyat Malaysia untuk mencegah penularan wabak terbabit.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini keputusan sama ada memperketatkan PKPB atau melonggarkannya bergantung kepada kepatuhan rakyat yang akan dipantau pihaknya dan dari segi penularan kes yang akan dipantau Kementerian Kesihatan.

Setakat semalam, kes positif COVID-19 dalam negara berjumlah 6,467 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,584 kes, manakala jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 4,776 kes iaitu 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share