Sembunyi dalam tandas sehingga pasar raya tutup sebelum mencuri

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BULOH: Bersembunyi di dalam tandas sehingga pasar raya ditutup sebelum mencuri, menjadi taktik dua rakan yang dipercayai aktif memecah masuk dan mencuri di pasar raya, di sekitar daerah ini.

-Advertisement-

-Advertisement-

Kegiatan dua suspek lelaki berusia 21 dan 42 tahun itu bagaimanapun terbongkar, selepas mereka ditahan polis susulan laporan kes pecah masuk dan curi sebuah pasar raya di Puncak Alam, dekat sini, pada 25 April lalu yang mengakibatkan kerugian RM43,961.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata hasil risikan dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup pasar raya berkenaan, membawa kepada penahanan kedua-dua suspek di dua unit rumah di Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Serbuan bermula 26 April sehingga Ahad lalu. Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif pecah masuk pasar raya sejak Januari lalu, dengan cara bersembunyi di dalam tandas dan menunggu sehingga pasar raya itu tutup.

“Suspek yang hanya bergerak berdua sahaja ini, menyasarkan kedai telefon bimbit dan akan menjual hasil curi di laman Facebook,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini.

Katanya turut dirampas dalam serbuan itu ialah beberapa alat, yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk pasar raya dan beberapa barangan dipercayai dicuri, antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, rokok dan pemetik api yang disembunyikan di dalam sebuah rumah di Saujana Utama 3, dekat sini.

Shafa’aton berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya dengan penahanan dua suspek ini, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes pecah masuk dan curi di daerah Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek direman sehingga 10 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share