Pengusaha gunting rambut terpaksa pinjam ah long

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Pengusaha perkhidmatan gunting rambut terus resah apabila kerajaan masih tidak membenarkan perkhidmatan itu beroperasi meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

-Advertisement-

Presiden Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas), AK Selvan berkata, mereka kini ibarat sedang ‘lemas’, namun tidak mendapat pertolongan sewajarnya.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan untuk membantu telah diterjemahkan ketika pengumuman membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi pada 10 April lalu, namun ditarik balik disebabkan bantahan pihak lain.

“Sebelum ini Mahas yang memohon kepada kerajaan untuk beroperasi. Apabila kerajaan telah berikan kebenaran, ada pihak lain yang membantah menyebabkan seluruh persatuan (perkhidmatan gunting rambut) terjejas.

“Ini memberi tekanan kepada kami kerana tidak dapat beroperasi untuk menjana pendapatan. Jadi saya mohon semula pertimbangan kerajaan untuk kami beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

“Sebelum ini persatuan kami pernah membantu kerajaan dengan derma untuk Tabung Harapan. Kini kami mohon kerajaan pula bantu kami,” katanya kepada Sinar Harian.

AK Selvan
AK Selvan

-Advertisement-

Beliau berkata, operasi perniagaan sudah ditutup untuk hampir 60 hari menyebabkan mereka kehilangan pendapatan.

Sedangkan katanya, mereka terpaksa membayar sewa kedai walaupun tidak beroperasi dan turut perlu bayar sewa rumah dan hostel (pekerja).

Keluarga kami dan dan pekerja juga perlu makan. Kami tidak menerima sebarang bantuan geran daripada kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Kami juga tidak mendapat pinjaman bank menyebabkan terdapat ramai pemilik salon yang terpaksa membuat pinjaman wang dari ahlong untuk terus bertahan dan perniagaan kami akan tergadai kalau tak dapat lunaskannya,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar berkata, perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan kerana tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang PKP.

Larangan itu termasuk perkhidmatan gunting di rumah pelanggan.

-Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share