Covid-19 tidak mungkin dapat dihapuskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

GENEVA: Wabak koronavirus ini mungkin tidak akan hapus sama sekali, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-Advertisement-

Amaran itu dibuat ketika banyak negara sudah mula melonggarkan sekatan bagi membuka semula ekonomi.

Sehubungan itu penduduk dunia perlu belajar menerima kehidupan dengan ancaman virus itu.

Kata Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan, adalah sukar untuk meramalkan bila pandemik ini akan berakhir.

Sebaliknya, beliau memberi contoh penduduk dunia perlu menerima Covid-19 seperti mana kewujudan HIV.

Koronavirus pertama kali dikesan di China, tahun lalu dan kini menjangkiti 4.2 juta orang, dengan hampir 300 ribu kes kematian.

WHO juga mengulangi amaran tiada jaminan tindakan melonggarkan sekatan tidak akan mencetuskan gelombang jangkitan baharu.

Dalam pada itu, Ryan turut meluahkan kebimbangan mengenai serangan ke atas sebuah hospital di Afghanistan.

-Advertisement-

“Kami sangat bimbang dengan serangan ini, bukan sahaja ke atas fasiliti penjagaan kesihatan yang berkaitan Covid-19, tetapi wujud keadaan tidak aman di sekitar fasiliti ini.

“Kami mahu mengingatkan serangan bersasar ke atas fasiliti kesihatan dan petugas sektor kesihatan kerana konflik atau perang atau tindakan tidak bertanggungjawab ke atas kesihatan yang tidak boleh anda bayangkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, WHO menekankan usaha mengenal pasti sumber wabak Covid-19 adalah kritikal ketika ini.

Langkah itu boleh menentukan bagaimana virus berkenaan berkembang.

Kajian sehingga kini mendapati virus itu berasal dari haiwan dan kemudian menjangkiti manusia.

Kata Pegawai Kanan WHO, virus itu bermutasi setiap kali berpindah dari satu haiwan ke haiwan yang lain.

Tindakan mengenal pasti sumber virus, akan membolehkan dunia mengelak pandemik dan penularan dari haiwan kepada manusia.

Wabak Covid-19 turut mencetuskan pertikaian diplomatik di antara China dan Amerika Syarikat (AS)

– Awani

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares