Rugi RM511,760 ditipu ‘Sarjan Rosli’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kerugian RM511,760 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, di sini, 7 April lalu.

-Advertisement-

Kejadian dipercayai bermula selepas lelaki berusia 32 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Rosli dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada jam 9.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud, berkata suspek memaklumkan mangsa dikesan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Mangsa menafikan tuduhan suspek namun lelaki terbabit meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan dengan alasan untuk pembekuan akaun.

“Mangsa yang ketakutan akur dengan arahan suspek dan segera memindahkan wang daripada akaun bank miliknya ke dalam akaun bank baru yang diberikan suspek pada hari sama.

“Selepas melakukan pemindahan wang, suspek berterusan mengganggu mangsa apabila meminta mangsa memindahkan lagi wang kononnya ia bertujuan bagi membantu mangsa menyelesaikan kesnya.

-Advertisement-

“Mangsa berulang kali diganggu suspek dan membuat 14 kali transaksi bernilai RM511,760,” katanya ketika dihubungi, semalam.

M Zambri berkata, mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, M Zambri menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket Macau Scam dan mendapatkan nasihat di balai polis berhampiran sekiranya menerima panggilan yang meragukan,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares