COVID-19: Virus boleh jangkiti lebih 200 juta penduduk di Afrika

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Afrika bakal kehilangan 150,000 nyawa dalam tempoh setahun akibat COVID-19 jika tiada tindakan segera diambil.

-Advertisement-

-Advertisement-

Berdasarkan model kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan dalam Jurnal Kesihatan Global BMJ hari ini, hampir satu perempat daripada satu bilion penduduk dunia akan dijangkiti virus berkenaan.

Penyelidik menjangkakan kadar jangkitan rendah di kebanyakan negara di Afrika berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kematian dan kes tinggi.

Namun, jika negara di benua itu tidak mengambil langkah segera bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta mempertingkatkan sistem kesihatan akan mengakibatkan mereka gagal membendungnya.

Pakar WHO berpangkalan di Afrika meramalkan kemungkinan besar pendedahan virus dan jangkitan ke 47 negara dalam benua itu tidak termasuk Djibouti, Mesir, Libya, Maghribi, Somalia, Sudan dan Tunisia.

Kira-kira 231 juta atau 22 peratus daripada satu bilion penduduk benua itu dijangka dijangkiti dalam tempoh 12 bulan ini dengan kebanyakannya tiada simptom dan bergejala ringan.

Bagaimanapun 4.6 juta dianggarkan memerlukan rawatan di hospital sementara 140,000 mengalami jangkitan teruk dan 89,000 lagi dikategorikan pesakit kritikal sekali gus membawa kepada 150,000 kematian.

Permodelan itu mengambil kira apa yang akan berlaku untuk setiap negara dalam jangka waktu satu tahun bermula dari mula penyebaran hingga ia menjangkiti secara meluas.

Laporan itu mengandaikan sebanyak 88 peratus pesakit tidak menyedari mereka mempunyai virus, dengan gejala ringan atau tiada gejala sementara empat peratus akan menderita penyakit yang teruk atau mengancam nyawa. – AFP

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •