Hospital swasta disiasat caj pelitup muka RM11.20 sekeping

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebuah hospital swasta di ibu negara diperiksa pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) Putrajaya kerana mengenakan caj RM11.20 bagi sekeping pelitup muka.

-Advertisement-

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pemeriksaan dijalankan adalah hasil maklumat dan aduan orang awam yang dikenakan caj sebanyak RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan yang dipakai oleh jururawat yang merawat pesakit berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan didapati harga pelitup muka itu dijual lebih tinggi iaitu bersamaan RM11.20 sekeping berbanding harga maksimum yang ditetapkan sebanyak RM1.50 sekeping.

“Dalam pemeriksaan itu beberapa dokumen berkaitan transaksi termasuk pelitup muka telah disita daripada hospital swasta berkenaan untuk tujuan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual barang harga terkawal (topeng muka 3 lapisan) melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Turut disiasat mengikut seksyen 14 akta yang sama iaitu mencatut dalam menjual atau menawarkan untuk menjual barangan (topeng muka 3 lapisan),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Berdasarkan akta berkenaan, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000 jika membabitkan pertubuhan perbadanan (syarikat).

Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan (perseorangan), boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Iskandar Halim menegaskan KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan pelitup muka mudah diperolehi pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan.

Dalam pada itu, katanya beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share