COVID-19: Johor catat 46 kes pesakit kanak-kanak

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan jumlah kumulatif 46 kes pesakit kanak-kanak bawah 12 tahun positif COVID-19 daripada keseluruhan 668 kes positif sehingga semalam.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan, berkata daripada 46 kes itu, tujuh kes membabitkan kanak-kanak berusia setahun ke bawah, selain 15 kes pula adalah kes aktif.

Katanya, bagaimanapun, 31 kes daripada jumlah itu sudah sembuh dengan keseluruhan jumlah kes kumulatif sembuh di Johor ialah 520 kes.

“Oleh itu, kerajaan negeri merayu kepada semua supaya menghindari daripada membawa anak-anak ke luar rumah tanpa sebab penting seperti ke lokasi tumpuan awam. Sebaliknya, terus kekal di berada rumah.

“Selain itu, berkenaan operasi perkhidmatan Kesihatan Pergigian di Johor ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB )dan pasca-PKPB, kerajaan negeri menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat yang bimbang penularan COVID-19 tetapi memerlukan perkhidmatan pergigian.

“Rekod menunjukkan terdapat penurunan ketara kedatangan pesakit luar pada Mac lalu, iaitu 50,933 orang berbanding Januari (68,413 orang), iaitu 25.54 peratus penurunan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan purata kedatangan sekitar Januari hingga Mac kira-kira 60,000 pesakit setiap bulan.

-Advertisement-

“Di Johor, terdapat 60 klinik pergigian primer tetap dan 30 klinik pergigian lawatan untuk pesakit luar, selain 23 klinik pergigian pakar pelbagai disiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut norma baharu perkhidmatan pergigian, bilangan pesakit dibenarkan hadir pada satu masa terhad daripada segi bilangan yang dirawat, selain masa menunggu dan rawatan pesakit disingkatkan.

“Proses kerja diubah bagi mengelakkan perawat pergigian dan pesakit terkena atau menyebarkan COVID-19, malah ada sebahagian rawatan pergigian elektif tidak dapat diberikan buat sementara waktu.

“Ketika ini, perkhidmatan pergigian yang disediakan terhad kepada kes kecemasan. Rawatan biasa seperti proses scaling dan tampalan mudah atau pesakit tidak mengalami sebarang kesakitan atau masalah perubatan lain akan ditangguhkan sementara waktu hingga keadaan terkawal dan stabil.

“Pesakit perlu membuat temujanji terlebih dahulu untuk mendapatkan tarikh pemeriksaan pergigian dan buat masa ini pesakit boleh menghubungi klinik pergigian terdekat menerusi telefon,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share