Denda RM80 kerana keluarkan kata-kata kesat kepada polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

TEMERLOH: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan tiga wanita didenda RM80 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang menegur perbuatan seorang daripada mereka bermain mercun, minggu lalu.

-Advertisement-

Majistret Ti Pei Si memerintahkan tertuduh Nurul Shahira Abdul Lazak, 22, dan dua ibu saudaranya, Rasidah Mohamed, 45, dan Siti Rozana Mohamed, 25, menjalani hukuman penjara dua hari, jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Inspektor Mohd Yunus Hazmi pada 8.45 malam, 13 Mei lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Bera, Bera dekat sini, dengan tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Sharifudin, merayu denda ringan diberikan kepada semua tertuduh atas alasan pendapatan mereka sekitar RM900 hingga RM1,500 sebulan dan mempunyai tanggungan.

-Advertisement-

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada Mohd Yunus selepas menegur perbuatan Nurul Shahira yang dilihat bermain mercun di perkarangan rumah, ketika beliau melakukan rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di taman perumahan terbabit.

Nurul Shahira didakwa menghubungi Rasidah, menyebabkan wanita itu datang ke rumah berkenaan dan turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Mohd Yunus sebaik keluar dari kereta manakala Siti Rozana yang keluar dari rumah turut melakukan perbuatan sama.

Di mahkamah sama, Ti juga memerintahkan Rasidah menjelaskan denda RM300 atau penjara tujuh hari jika gagal membayar denda, selepas mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan kepada seorang lagi pegawai polis.

Rasidah yang juga suri rumah didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Inspektor Mohd Izzat Iqbal Mohd Zaki pada 9.40 malam, 13 Mei lalu di Balai Polis Triang, Bera.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Share this Article
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares