Guru rugi RM5,500 ditipu ‘Inspektor Mazlan’

Estimate Reading Time: < 1 minute

BALIK PULAU:  Seorang guru mengalami kerugian berjumlah RM5,500 selepas terpedaya dengan Macau Scam yang menghubunginya pada jam 8.30 pagi semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 35 tahun itu dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Amirul itu memberitahu mangsa bahawa namanya telah didaftarkan atas satu nombor telefon untuk kegunaan internet judi haram.

Beliau berkata, suspek memberitahu kelulusan pendaftaran nombor tersebut di atas nama mangsa telah diluluskan pada 18 Januari tahun lalu yang mana, mangsa telah membuat permohonan di Kuantan, Pahang.

“Mangsa menafikan perkara itu menyebabkan panggilan tersebut disambungkan ke seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chan.

“Sarjan Chan mendakwa dia dari Ibu Pejabat Polis Pahang dan panggilan disambung lagi ke Inspektor Mazlan. Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan pengubahan wang haram dan meminta mangsa memberitahu kesemua akaun bank miliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

-Advertisement-

AA Anbalagan berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah memberitahu suspek bahawa dia mempunyai wang simpanan di dalam satu akaun sahaja.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa polis akan mengeluarkan waran tangkap ke atasnya yang mana, mangsa akan direman sehingga 45 hari.

“Selain itu, mangsa juga diarahkan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM5,500 ke sebuah akaun yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.

“Mangsa dari Titi Teras, Balik Pulau yang ketakutan itu telah memindahkan wangnya seperti diarahkan tiga jam selepas dihubungi suspek,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya baharu tersedar dia ditipu sindiket Macau Scam lalu membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

-Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share