Polis rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM120,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT: Kegiatan dua lelaki tempatan yang baharu sahaja berjinak dalam penjualan mercun di daerah ini terbantut selepas mereka ditahan polis yang menyerbu sebuah rumah mewah di sini pada Jumaat lepas.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan pada jam 2.30 petang itu pihaknya turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM120,000 daripada kedua-dua suspek berusia 49 dan 57 tahun terbabit.

”Ketika serbuan kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah mercun ke dalam sebuah kenderaan dipercayai untuk dijual di sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan bersempena Aidilfitri,” katanya kepada pemberita hari ini.

-Advertisement-

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau dan baharu terlibat dalam kegiatan tersebut bulan ini.

Dalam kes berasingan, Azhan berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 29 tahun di sebuah rumah di pekan Yong Peng awal pagi semalam dipercayai terlibat dalam penjualan mercun dan bunga api serta minuman keras tanpa lesen sah.

“Dalam serbuan itu polis menyita mercun dan minuman keras bernilai kira-kira RM30,000.

“Kedua-dua kes disiasat menurut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share