COVID-19: Wanita mengandung positif jangkitan, 20 kontak rapat dikuarantin

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU: Kes COVID-19 yang dikesan positif pada seorang wanita mengandung berusia 30an yang pulang dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai di sini sejak Jumaat lalu, menyebabkan 20 kontak rapat dikenakan kuarantin.

-Advertisement-

Selain ahli keluarganya yang dikenakan tindakan kuarantin itu, petugas klinik kesihatan yang merawat wanita terbabit turut dikenakan tindakan sama, bagi mengesan sebarang tanda jangkitan.

Wanita itu dikesan merentas sempadan negeri di luar tempoh dibenarkan pihak berkuasa baru-baru ini.

Sebaliknya dia hanya pulang dari Ampang ke Kampung Sungai Durian, Kuala Krai di sini, pada Jumaat lalu iaitu di luar tempoh pergerakan rentas negeri yang dibenarkan di antara 7 hingga 10 Mei lalu.

Wanita mengandung yang disahkan positif COVID-19 itu, pulang ke kampung halaman untuk bersalin anak kedua.

Sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, berkata berdasarkan keterangan pesakit, wanita berkenaan pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah memasuki 35 minggu.

“Apa yang bahaya, pesakit ini tidak mempunyai tanda-tanda seperti demam atau batuk yang menyebabkan dia bebas bergerak.

“Mangsa pulang pada 15 Mei dan tiada kaitan dengan perjalanan Gerak Malaysia, sebaliknya balik untuk bersalin.

-Advertisement-

“Susulan kejadian itu, seramai 20 individu dikuarantin termasuk ahli keluarga dan kakitangan klinik kesihatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, selepas lebih sebulan bebas daripada COVID-19, Kelantan kembali mencatatkan satu kes terbaharu di Kuala Krai, membabitkan wanita mengandung.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, berkata mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sementara itu, Polis Kelantan menunggu arahan dari kerajaan negeri untuk sebarang tindakan selanjutnya, susulan kemunculan semula kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, menyifatkan kejadian itu adalah satu tragedi memandangkan negeri ini sudah lebih sebulan berstatus Zon Hijau dan kini secara automatik bertukar kepada kuning.

“Ini adalah satu tragedi di Kelantan dan apa yang kita tahu seorang pembawa boleh menjangkiti 30 orang yang lain.

“Untuk periksa seorang demi seorang individu yang merentas negeri sudah pasti satu beban yang perlu ditanggung oleh kami sedangkan wabak itu dibawa dari negeri lain.

“Bagaimanapun kami akan mengadakan mesyuarat dan terpulang kepada kerajaan (negeri) untuk memutuskan sebarang perubahan tindakan dalam penguatkuasaan pemantauan nanti,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares