Penyelesaian kes pengubahan wang Riza Aziz: ‘Inside story’ SPRM

Estimate Reading Time: 4 minutes

PUTRAJAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas pada setiap masa dimaklumkan dan dikemas kini tentang status permohonan representasi Riza Aziz berhubung 5 tuduhan pengubahan wang melibatkan kira-kira RM250 juta, kata beberapa pegawai kanan agensi anti-rasuah kepada FMT.

-Advertisement-

Mereka juga mengesahkan urutan peristiwa yang membawa kepada pelepasan bersyarat yang diberikan kepada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu, seperti yang diberitahu Peguam Negara Idrus Harun.

“Setiap surat-menyurat oleh peguam Riza kepada Thomas juga disalin kepada kami. Semuanya secara hitam putih, jadi membingungkan bila beliau (Tommy Thomas) kata terkejut dengan keputusan mahkamah minggu lepas,” kata sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada FMT.

Ia menjawab reaksi Thomas yang marah dengan keputusan Mahkamah Sesyen memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNNA) kepada Riza.

Tahun lepas, Riza dituduh dengan 5 tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta yang dibayar kepada syarikat penerbitan Red Granite Pictures di Hollywood antara 2011 dan 2012.

Dalam penyelesaian yang diumumkan Mahkamah Sesyen pada 14 Mei, Riza akan menyerahkan hak ke atas 3 hartanah yang dirampas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan membolehkan kerajaan melucutkan haknya ke atas wang yang dirampas daripadanya.

Riza juga akan membayar kompaun RM500,000 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).

Thomas, yang meletakkan jawatan peguam negara selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Februari, cuba menjauhkan diri daripada urus janji itu, dengan berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan representasi oleh Riza.

Bagaimanapun FMT boleh mengesahkan, berdasarkan dokumen dan perbualan dengan pihak yang terlibat dalam mendapatkan kembali aset 1MDB yang didakwa dilencongkan kepada Riza, bahawa surat representasi daripada peguamnya diterima Thomas secara positif.

Surat representasi itu pertama kali dikirim oleh peguam Riza, Scivetti & Associates kepada Thomas pada 18 Nov tahun lepas dengan menyenaraikan cadangan penyelesaian itu.

Nota Thomas kepada DPP Sri Ram

Merujuk kepada surat itu, Thomas kemudiannya menulis kepada timbalan pendakwa raya kanan, Gopal Sri Ram:

“Berdasarkan kenyataan di perenggan 5.10, 5.14, 5.15, 5.18 dan 5.19, saya sedia mempertimbangkan rundingan ini. Perenggan 5.20 mengandungi syarat penyelesaian yang dicadangkan. Saya tunggu nasihat anda,” katanya.

Thomas bagaimanapun menambah beliau tidak yakin Riza akan menjadi seorang “saksi pendakwaan yang baik terhadap bapanya”.

Tommy Thomas memaklumkan kepada pendakwa raya kanan, Gopal Sri Ram bahawa beliau akan pertimbangan cadangan daripada peguam Riza Aziz.

Semalam, Sri Ram memberi isyarat bahawa Riza mungkin memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB melibatkan bapa tirinya, Najib Razak.

Pada Isnin, Thomas mengesahkan notanya kpeada Sri Ram yang menyambut baik cadangan Riza, tetapi enggan mengulas lanjut kerana menurutnya tiada akses kepada nota tulisan tangan yang asal.

Peguam Riza mengirim surat susulan berhubung permintaan untuk representasi yang pertama pada Januari tahun ini.

Dalam surat yang dilihat oleh FMT, Thomas dimaklumkan seorang pendakwa raya SPRM memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa representasi Riza sudah diterima oleh Pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan.

“Surat itu jelas menunjukkan representasi dan rundingan sedang berjalan. Jadi mana boleh Thomas dakwa beliau tidak tahu banyak sejak surat representasi pertama itu,” kata sumber kepada FMT, dan menambah: “Beliau tidak pernah menghentikan rundingan yang sedang berjalan itu.”

-Advertisement-

Pada Februari, pejabat Thomas menerima 1 salinan surat SPRM kepada mahkamah, memaklumkan tentang representasi kedua Riza, dan meminta perbicaraan ditangguhkan.

Salinan surat itu mengandungi arahan bertulis dengan tandatangan Thomas, mengatakan: “Saya ingin Wan Shaharuddin, penulis surat ini, memberi penjelasan ringkas kepada saya.”

Pengganti Thomas, Idrus Harun mempertahankan langkah membenarkan representasi Riza, dengan berkata, beliau dimaklumkan bahawa Thomas bersetuju dengan perkara itu.

Pada Isnin, Thomas sekali lagi nafi bersetuju dengan urus janji untuk mendapatkan kembali aset itu, dengan berkata, beliau tidak akan mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Malah beliau mengatakan penyelesaian itu merupakan “urus janji yang baik untuk Riza”, dengan berkata, wang AS$108 juta yang akan diperolehi oleh kerajaan “DoJ memang akan serah kepada Malaysia”.

Pemimpin PH serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyusul dengan mencadangkan bahawa urus janji itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Perikatan Nasional untuk melepaskan keluarga Najib.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekeras-kerasnya menafikan sebarang penglibatan dalam keputusan mahkamah.

Kembalikan aset jadi dasar SPRM

Bagaimanapun penyiasat di SPRM yang biasa menangani jenayah pengubahan wang berkata langkah membenarkan representasi untuk Riza “bukanlah pelik”.

“Dasar kami sejak Jun 2019 dalam hal skandal 1MDB itu adalah mendapatkan kembali aset,” kata seorang penyiasat kanan badan itu kepada FMT.

“Atas sebab itu juga kami menamakan 41 entiti dan individu untuk pelucuthakan sivil. Kemudian kami keluarkan notis kompaun terhadap mereka yang terima dana 1MDB yang haram itu,” kata sumber.

Pada Jun tahun lepas, 3 minggu selepas dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengumumkan saman pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti bagi mendapatkan kembali wang yang didakwa dipindahkan daripada akaun Najib.

Langkah itu bertujuan mendapatkan kembali wang 1MDB sebanyak RM270 juta, tambahan kepada kira-kira RM1 bilion yang sudah diperolehi ketika itu.

“Tumpuan pada ketika itu dan sekarang adalah mendapatkan kembali seberapa banyak wang. Semua itu dilakukan di bawah bekas peguam negara. Jadi kenapa sekarang beliau tiba-tiba berpura-pura tidak tahu?” soal seorang pegawai kanan SPRM.

Katanya, Thomas juga merendahkan martabat Pejabat Peguam Negara apabila mengatakan beliau tidak akan mengkhianati kepercayaan bekas perdana menteri dan PH.

“Kenapa beliau merujuk dirinya sebagai peguam negara PH? Itu tidak wajar dan menunjukkan berat sebelah politik.”

FMT difahamkan proses dari ketika Riza membuat representasi pertamanya pada November lepas, sehingga mahkamah membenarkan beliau dilepaskan minggu lepas, mengharungi rundingan teliti melibatkan pelbagai pihak, termasuk pegawai daripada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Pihak berkuasa AS sebelum ini menyelesaikan kes sama melibatkan berbilion dolar yang didakwa dilencongkan daripada dana itu, termasuk daripada Low Taek Jho, ahli perniagaan yang dikehendaki di beberapa negara dan dikatakan watak utama dalam skandal itu.

“Kalau penyelesaian itu tidak berlaku, hampir mustahil untuk kerajaan dapat kembali aset dan hartanah berkaitan 1MDB,” kata seseorang daripada mereka yang terlibat dalam siri rundingan dengan DoJ.

-FMT

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares