Sesi penggambaran dalam tempoh PKPB dibenarkan dengan SOP ketat

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kebenaran aktiviti penggambaran akan bermula selepas perayaan Aidilfitri dan pihak produksi perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian, mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran.

“Syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi. Perkhidmatan bufet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata jurusolek dan penata rias juga perlu menggunakan pelindung muka dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas membuat dandanan artis yang terlibat.

-Advertisement-

-Advertisement-

Jelasnya penggambaran atau rakaman pentas dan persembahan secara langsung yang melibatkan tontonan ramai masih tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata MKN turut membuat keputusan mengenakan caj kuarantin hotel ke atas semua individu yang memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun 2020.

Jelasnya warga tempatan yang pulang dari luar negara akan dikenakan caj kuarantin hotel sebanyak 50 peratus daripada kadar penuh iaitu pada siling RM150 sehari, manakala bagi bukan warganegara dan pemastautin tetap akan dikenakan caj RM150 sehari.

“Sidang MKN membuat keputusan untuk mewajibkan semua individu yang ingin pulang ke Malaysia untuk menandatangani surat setuju pembayaran 50 peratus bagi warganegara Malaysia dan 100 peratus bagi bukan warganegara, melalui pejabat kedutaan Malaysia yang terdekat.

“Pejabat kedutaan yang terlibat akan mengeluarkan surat kelulusan untuk pulang ke negara ini. Jabatan Imigresen akan memberi arahan kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan surat kelulusan dijadikan syarat kepada semua penumpang,” katanya.

Ismail Sabri memaklumkan seramai 252 rakyat telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib semalam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini, seramai 38,371 yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lepas.

Seramai 30,200 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP dan mengeluarkan kompaun kepada 51 individu atas kesalahan itu.

“Semalam juga, sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM. Sekali lagi diingatkan, pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali atas hal kecemasan atau kerja dan kebenaran rentas negeri perlu dikeluarkan oleh PDRM,” katanya.

– BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares