Syarikat penerbangan digesa kerjasama hadapi kesan Covid-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan mengesyorkan supaya syarikat penerbangan tempatan menjalinkan kerjasama, bukan bersaing, selepas membuat ramalan perniagaan penerbangan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 3 tahun untuk mendapatkan kembali lalu lintas penumpang selepas krisis Covid-19.

-Advertisement-

Goh Bok Yen, perunding pengangkutan selama 30 tahun berkata, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air harus “berkoordinasi” untuk memanfaatkan sumber mereka sebaik mungkin.

Ini termasuk perjanjian perkongsian kod. Penerbangan perkongsian kod adalah operasi bersama pesawat 2 atau lebih syarikat penerbangan.

“Sekiranya mereka bersaing sekarang, mereka akan saling berbunuhan, berikutan penyusutan pasaran. Mereka tidak dapat bertahan dengan bersaing,” katanya kepada FMT.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini berkata, lalu lintas penumpang udara tidak akan kembali ke tahap sebelum krisis pra-Covid-19 sehingga sekurang-kurangnya 2023.

Ketua Pengarah IATA Alexandre de Juniac berkata, perjalanan udara merosot lebih 90% di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sejak penularan wabak tersebut dan memberi amaran bahawa pemulihan akan menjadi lebih perlahan jika sekatan pergerakan dan sekatan perjalanan dilanjutkan.

Goh bersetuju bahawa prospek industri penerbangan tempatan suram kerana ia bergantung pada situasi yang berlaku di seluruh dunia.

Beliau berkata, syarikat penerbangan harus lebih fokus kepada rancangan jangka pendek.

“Jika tidak, ia tidak selari dengan situasi semasa. Krisis Covid-19 menjadi terlalu besar dan apa-apa sahaja rancangan yang mereka rangka tidak akan berkesan. ”

-Advertisement-

Dengan pelan jangka pendek, syarikat penerbangan boleh menghindari “kegagalan kewangan ketika berdepan masalah”.

Beliau berkata, peraturan baru seperti penjarakan sosial akan menyaksikan kapal terbang membawa separuh daripada kapasitinya.

“Sekiranya syarikat penerbangan ini tidak berhati-hati, mereka boleh muflis.”

Lembaga Perwakilan Penerbangan Malaysia (BAR-Malaysia) juga setuju dengan penilaian IATA, sambil menambah bahawa rakyat Malaysia akan tetap berhati-hati untuk melakukan perjalanan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang.

“Namun perjalanan domestik dijangka akan menunjukkan tanda-tanda positif pemulihan lebih awal daripada perjalanan antarabangsa,” kata pengerusinya Suresh Singam kepada FMT.

Suresh menyokong gesaan IATA supaya kerajaan mengamalkan “pendekatan berlapis” dan membuka sempadan tanpa melaksanakan kuarantin ketibaan penumpang dari negara dengan kadar jangkitan paling rendah.

Bagaimanapun, langkah tertentu perlu dilaksanakan bagi mengatasi risiko jangkitan daripada pelancong, seperti pengimbas suhu, perisytiharan kesihatan dan pengesanan kontak, katanya.

“Langkah tersebut, antara lain, diperlukan untuk meningkatkan kepercayaan diri untuk melakukan perjalanan.”

-FMT

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares