260 keluarga terima sumbangan BSN Care

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi jenama tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), BSN Care sudah menghulurkan bantuan barangan keperluan asas kepada 260 keluarga ibu tunggal serta golongan miskin dan asnaf di seluruh negara sepanjang Ramadan ini membabitkan peruntukan lebih RM50,000.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata bantuan diberikan terus kepada penerima di kediaman mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuat kuasa.

-Advertisement-

Susulan pandemik COVID-19, katanya, ramai rakyat Malaysia yang telah kehilangan punca pendapatan mereka. Perkara ini secara tidak langsung menyukarkan mereka bukan sahaja untuk menanggung keperluan keluarga malahan juga meneruskan kehidupan seharian.

“Fenomena ini sememangnya telah melumpuhkan ekonomi dunia dan juga menjejaskan ekonomi negara kita. Atas dasar itulah pihak BSN telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan kakitangan kami di seluruh negara menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“BSN berharap dengan bantuan yang disalurkan ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan seharian terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-Advertisement-

Melalui BSN Care, BSN terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam menghulurkan bantuan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan kedudukan sosial.

BSN juga turut menyampaikan bantuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Tabung Bantuan Perubatan bagi membantu menangani penularan wabak Coronavirus (COVID-19).

Selain KKM, BSN juga tidak ketinggalan untuk menghulurkan sumbangan kepada beberapa hospital dan organisasi yang turut berperanan penting dalam misi pencegahan wabak ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 1974, BSN kini mempunyai lebih 7,300 kakitangan dan disokong oleh 390 cawangan, 38 Pusat Mikro Kewangan, 729 Mesin Teler Automatik (ATM), 346 Mesin Deposit Wang Tunai (CDM), 4,000 Ejen Bank Berdaftar BSN atau EB BSN di seluruh negara. BSN mempunyai lebih sembilan juta pelanggan di seluruh Malaysia dengan pendeposit runcit berjumlah lebih RM20 bilion, hingga April lalu.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares