CAP minta kerajaan haramkan bedak talkum

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan talkum berikutan ia mempunyai magnesium silicate hydroxide yang menyamai asbestos.

-Advertisement-

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata bedak talkum lazimnya disapu pada kulit sebagai bahan penyerap yang baik bagi mewangi dan memberikan sentuhan lembut.

Selain digunakan dalam bedak bayi, produk lain turut mengandungi talkum termasuk beberapa produk pembayang mata, pemerah pipi dan deodorant.

“Penggunaan bedak talkum juga turut dikaitkan dengan kanser ovari dan masalah pernafasan.

“Walaupun penggunaan talkum dalam kosmetik begitu meluas di seluruh dunia, kebarangkalian talkum yang bebas asbestos bersifat karsinogenik telah mendorong Kesatuan Eropah bagi mengharamkan kosmetik berasaskan bahan itu sama sekali,” katanya.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, di Malaysia kanser ovari menjadi kanser umum kelima membabitkan wanita dengan kira-kira 500 pesakit dikesan menghidapnya setiap tahun.

Ia menjadi kanser lazim bagi wanita yang berusia 50 tahun ke atas dan kerap membabitkan wanita Melayu, diikuti Cina dan India.

-Advertisement-

Malah kanser ovari khususnya, diketahui amat berbahaya kerana ia berkembang secara senyap dan ada yang hanya dapat dikesan di tahap terakhir.

Talkum diketahui beracun kerana zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru malah zarahnya boleh sampai ke sistem pembiakan serta melekat pada lapisan ovari.

Penyelidik sudah mengesan zarah talkum dalam tumor ovari dan mendapati penghidap kanser itu menggunakan bedak talkum pada alat sulit mereka lebih kerap berbanding wanita sihat.

Selain serangan asma, bedak talkum juga berisiko menjejaskan paru-paru kerana zarahnya yang halus malah ia juga boleh menyebabkan laluan pernafasan bayi membengkak lalu menjadi pneumonia.

Sehubungan itu, CAP turut menasihati pengguna supaya menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras yang lebih selamat.

Golongan ibu pula dinasihati supaya menggunakan minyak sapu (ointment) dan tidak menggunakan bedak berubat bagi masalah ruam bayi.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares