Aplikasi KLstep mudahkan rekod butiran peribadi pelanggan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan aplikasi KLstep bagi memudahkan butiran peribadi pelanggan direkodkan ketika mengunjungi premis perniagaan di ibu negara.

-Advertisement-

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya memberikan tempoh tiga hari mulai hari ini untuk semua pemilik perniagaan mengaplikasikan sistem berkenaan di premis perniagaan masing-masing.

“Pelanggan hanya perlu mengimbas QR Code (kod respon cepat) yang diletakkan di pintu masuk semua premis perniagaan supaya butiran peribadi mereka dapat direkodkan ketika mengunjungi premis terbabit.

“Mereka tidak perlu lagi bersusah payah menulis butiran peribadi dalam buku yang disediakan seperti sebelum ini dan hanya perlu mengimbas QR Code yang disediakan dengan telefon pintar masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi KLstep di pusat beli-belah SOGO di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, selepas mengimbas QR Code, pelanggan perlu memasukkan nama, nombor telefon serta suhu badan untuk direkodkan sebelum klik pada butang ‘Hantar’.

Paparan yang berjaya kemudian perlu ditunjukkan kepada petugas di pintu masuk perniagaan terbabit.

Melalui aplikasi itu, katanya kehadiran pelanggan dalam satu premis perniagaan akan dapat direkodkan seterusnya memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pengesanan kontak jika berlaku kes positif COVID-19 berpunca daripada kunjungan di premis perniagaan terbabit.

DBKL akan memperluaskan penggunaan aplikasi sistem itu di semua premis seliaan DBKL bagi memudahkan semua maklumat pelanggan diselaraskan di bawah satu sistem iaitu KLstep.

-Advertisement-

Dalam pada itu, DBKL terus menjalankan pemantauan dalam memastikan semua peniaga dan pemilik premis perniagaan di sekitar ibu negara dan pinggir bandar raya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Nor Hisham berkata pihaknya masih belum berpuas hati dengan kadar pematuhan yang ditunjukkan peniaga dan pemilik premis perniagaan dalam mematuhi SOP ditetapkan.

“Masih ada segelintir yang belum dapat mematuhi SOP yang ditetapkan sepenuhnya, namun kita akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Buat masa ini kebanyakan yang ingkar kita berikan nasihat dan amaran, namun jumlahnya yang ingkar itu hanya sebilangan kecil, rata-rata peniaga mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pemantauan dijalankan mendapati masih ada yang gagal menjaga penjarakan sosial terutamanya dalam kalangan pelanggan yang datang membeli barangan.

“Kita masih tidak berpuas hati berhubung keingkaran orang ramai mematuhi arahan penjarakan sosial.

“Masih ada yang berebut-rebut ketika membeli ayam, daging dan sebagainya namun ia berlaku di lokasi tertentu sahaja,” kata beliau.

Namun katanya, kebanyakan peniaga mematuhi SOP dengan memastikan pelanggan mematuhi jarak sosial, memakai pelitup separuh muka serta menyediakan cecair pembasmi kuman selain mengambil butiran pelanggan.

“Nasihat dan amaran akan diberikan kepada peniaga yang dikesan gagal memenuhi keperluan SOP berkenaan selain meletakkan anggota penguat kuasa untuk menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi yang dikesan kerap menjadi tumpuan orang ramai termasuk di pasar,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share