Geng Walit tumpas

Estimate Reading Time: 2 minutes

HULU SELANGOR: Polis berjaya menumpaskan dan mematahkan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Walit yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri sarang burung walit, di sini, semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata bertindak atas maklumat orang awam, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun pada jam 1.30 petang di sebuah bangunan sarang burung walid di Jalan Stesen , Rasa, Hulu Selangor.

Katanya, ketika serbuan dilakukan kelima-lima mangsa sedang berada di atas siling tingkat tiga bangunan itu bagi tujuan menyorok dan melarikan diri.

“Kami berjaya menangkap kesemua suspek yang cuba meloloskan diri.

“Siasatan awal mendapati, mereka mencerobohi bangunan sarang burung itu dengan memotong ibu kunci (mangga) pintu dengan pisau pemotong (hidrolic cutter).

“Sehingga kini, semua suspek yang disoal siasat mengaku terbabit dengan tiga kes pecah rumah penduduk sekitar Hulu Selangor sejak beberapa bulan lalu.

-Advertisement-

“Kumpulan itu juga memecah masuk bangunan sarang burung walid bagi mencuri sarang burung dan beberapa peralatan lain milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arsad berkata, polis juga merampas dua mesin grinder, satu spanar hidup dan sebatang skru driver, digunakan untuk tujuan pecah rumah dan bangunan sarang yang diletakkan dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry milik ketua kumpulan berkenaan.

Katanya, barangan lain yang turut dirampas polis adalah beg plastik berisi sarang burung bernilai RM3,000, satu pemotong hidrolik, tiga skru driver, satu gergaji kayu, satu spanar mudah laras, dua playar, dua lampu suluh kepala dan sebuah beg komputer riba.

“Kesemua suspek negatif dalam pemeriksaan ujian air kencing bagaimanapun, semakan kami mendapati kesemua mereka mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan jenayah lampau.

“Salah seorang suspek juga sangat dikehendaki polis kerana terbabit kesalahan jenayah bersabit laporan di Rawang, Selangor baru-baru ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua suspek berkenaan ditahan dan direman empat hari bermula semalam hingga 30 Mei depan.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share