Ugutan rogol, ADUN Kampung Tunku lapor polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei membuat laporan polis berhubung ugutan rogol dan gangguan seksual yang dibuat terhadap dirinya, hari ini.

-Advertisement-

Laporan polis dibuat di Balai Polis Petaling Jaya, dekat sini pada jam 11 pagi tadi.

Yi Wei yang ditemui pemberita memaklumkan laporan polis berkenaan dibuat atas nasihat pihak polis selepas namanya antara salah seorang yang disebut dalam ugutan berkenaan.

Difahamkan, Yi Wei serta ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menerima ugutan itu termasuk ugutan bunuh menerusi akaun Facebook Jamaliah oleh seorang pengguna Facebook baru-baru ini.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan termasuk pemimpin Pakatan Harapan serta Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong yang turut menjadi mangsa ugutan rogol bulan lalu.

“Isu gangguan seksual dan buli di alam siber wajar dipandang berat tanpa mengira siapa pun sasarannya tidak kira orang awam atau wakil rakyat,” katanya.

Yi Wei berkata, beliau turut berterima kasih kepada pihak polis kerana bertindak pantas dan berjaya menahan suspek.

-Advertisement-

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan suspek berusia 40 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 12.50 tengah hari, semalam.

Katanya, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis oleh Jamaliah berhubung ugutan yang diterimanya itu pada 22 Mei lalu.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku membuat komen berbaur ugutan itu berkenaan serta satu lagi kes ugutan yang diterima Ketua Pemuda MCA (Nicole).

“Beliau membuat laporan perkara itu pada 21 April lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Nik Ezanee berkata, lelaki itu yang mempunyai kad kelainan upaya (OKU) dan masih menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital sejak 2016.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share