Penunjuk perasaan antiperkauman kembali penuhi jalan raya

Estimate Reading Time: < 1 minute

MINNEAPOLIS: Penunjuk perasaan antiperkauman di bandar seluruh Amerika Syarikat (AS) kembali memenuhi jalan raya, bagi menyuarakan kemarahan atas sikap ganas pihak polis, serentak dengan kenyataan Trump yang menyamakan perbuatan golongan berkenaan dengan pengganas dalam negeri.

-Advertisement-

Ketika pemimpin tempatan merayu orang ramai bertenang, perintah berkurung terus dilaksanakan pada waktu malam di beberapa bandar, seperti Los Angeles, Houston dan Minneapolis.

Ribuan pasukan Pengawal Nasional dikerahkan ke seluruh negara bagi memulihkan semula keamanan, namun penunjuk perasaan dan polis masih terbabit dalam pertempuran, manakala beberapa kes kecurian turut dilaporkan.

Antara tunjuk perasaan yang dipantau rapi adalah di luar bandar kembar Minneapolis, St Paul, membabitkan penyertaan ribuan orang ramai, sebelum masing-masing mula berarak di lebuh raya.

-Advertisement-

“Kami memiliki anak lelaki, adik beradik, rakan, kami tidak mahu mereka mati. Kami sudah bosan dengan keadaan ini, generasi sekarang tidak lagi boleh menerima keadaan ini. Kami sudah letih ditindas.

“Saya mahu memastikan dia terus hidup,” kata Muna Abadi, seorang peserta wanita kulit hitam berusia 31 tahun, merujuk kepada anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

Beberapa tunjuk perasaan besar-besaran turut dilaporkan di beberapa bandar seperti Miami dan Washington DC, yang menyaksikan pasukan polis berbaris di luar Rumah Putih.

Walaupun tiada laporan mengenai keganasan besar-besaran sejak beberapa hari lalu, peningkatan kecurian dipercayai berlaku di kawasan kejiranan Philadelphia.

Di Santa Monica, pinggir Los Angeles, kecurian dilaporkan berlaku di kawasan pantai peranginan popular. – AFP

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share