COVID-19: 570 banduan warga asing jalani saringan kesihatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seramai 570 banduan warga asing menjalani saringan kesihatan ujian calitan (swab test) COVID-19 di dua penjara di negeri ini.

-Advertisement-

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata saringan sejak seminggu lalu itu dilakukan secara berkala dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Saringan dibuat secara berperingkat kerana menurut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), mana-mana banduan yang berada dalam penjara lebih dari enam bulan tidak perlu membuat saringan.

“Keutamaan dibuat kepada banduan warga asing yang baru ditahan atas pelbagai kesalahan sebelum diserahkan kepada mana-mana agensi penguatkuasa berkaitan.

“Kita tengok kepada tarikh bebas dan perbicaraan yang akan didahulukan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mat berkata, pihaknya menunggu sebarang arahan daripada pihak atasan termasuk KKM sama ada saringan sama perlu dibuat kepada banduan tempatan.

-Advertisement-

Beliau berkata, kemasukan banduan berterusan termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Apabila ada tangkapan, mereka akan dibawa ke penjara sama ada banduan reman, menunggu dijatuhkan hukum atau yang sudah dijatuhkan hukuman.

“Setakat ini belum ada arahan untuk dibuat saringan kepada banduan tempatan dan jika ada kami akan patuhi bagi memastikan pelaksanaannya,” katanya.

Mat sebelum ini menyandang tugas sebagai Pengarah Penjara Pengkalan Chepa selama dua tahun kini dilantik sebagai Pengarah Negeri berkuat kuasa hari ini.

Majlis serah terima tugas disaksikan Pengarah Penjara Negeri Pahang, Komisioner Penjara Datuk Abd Basir Mohamad. Jawatan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa kini disandang Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang sebelum ini bertugas di Penjara Marang, Terengganu.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares