Tak mengaku salah biar anjing serang jiran

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR: Pekerja sektor pelancongan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki dengan membiarkan anjing peliharaannya menyerang mangsa berkenaan, Sabtu lalu.

-Advertisement-

Tertuduh, F Miranda Terrance, 42, memahami pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Auzi Mohamed Abdul Rashid, 45, di tepi Jalan Bunga Raya, Taman Bunga Raya di sini, kira-kira 5.30 pagi hari kejadian.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan cuai tidak mengambil langkah memadai terhadap anjing peliharaannya bagi menghindari sebarang bahaya kecederaan parah terhadap Auzi pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

-Advertisement-

Pertuduhan kedua pula, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 289 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana tertuduh masih menyara dua anak bersekolah, selain pendapatannya terjejas teruk susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh juga diarahkan tidak mendekati mangsa hingga kes selesai memandangkan dia dan mangsa menetap di taman perumahan sama.

-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •