COVID-19: Kes positif satu digit, mampukah kita terus bertahan?

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Menghitung detik tarikh akhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 9 Jun ini, boleh dikatakan tidak lagi mendebarkan seperti pada awal perintah berkenaan diumumkan.

Jika dibaca tren negara sekarang, bukan sahaja kes penularan COVID-19 dalam kalangan warganegara terus mencatatkan angka satu digit sejak empat hari lepas, malah aktiviti ekonomi dan harian rakyat semakin banyak dibenarkan kerajaan.

Walau masih belum pasti sama ada PKPB dilanjutkan atau tidak, namun ada sinar menampakkan usaha keras barisan hadapan dalam ‘peperangan’ menentang wabak ini, di samping disiplin rakyat Malaysia dalam mengamalkan norma baharu, membuahkan hasil.

-Advertisement-

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan hanya dua daripada 93 kes positif baharu dicatatkan membabitkan warga tempatan, manakala pada Selasa (lima dari 20 kes), Isnin (enam dari 38) dan Ahad (empat dari 57).

Malah, semalam juga adalah hari ke-12 berturut-turut tiada kematian dicatatkan.

Ini membawa kepada pengumuman lebih banyak aktiviti ekonomi dan rakyat dibenarkan, sepertimana diumum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa kerajaan negeri.

-Advertisement-

Selain kebenaran pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan merentas negeri dan aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan mulai 10 Jun, kerajaan juga membenarkan baki lebih 6,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) beroperasi kembali.

Sabah turut membenarkan rakyat tempatan melancong ke negeri itu, selain Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah mula diedarkan walaupun tarikh pembukaan sekolah masih belum ditetapkan.

Melaka pula membenarkan makan di premis tanpa hidangan bufet bermula Jumaat ini, diikuti Pulau Pinang yang memberi kebenaran untuk membuka semula semua taman rekreasi di negeri itu, pada Sabtu.

Walau sinar penghujung PKPB ini semakin terang, ia tetap bergantung kepada masyarakat untuk menentukan tarikh akhir perintah berkenaan.

Mampukah kita bertahan dan terus menang?

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share