Education Malaysia bantu pelajar antarabangsa mula pengajian dalam talian

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Education Malaysia Global Services (EMGS) telah memulakan inisiatif bagi membantu pelajar antarabangsa memulakan pengajian di negara mereka secara dalam talian berikutan penularan wabak COVID-19.

EMGS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memulakan proses aplikasi dalam talian serta inisiatif pengeluaran surat kelulusan EMGS untuk urusan pembelajaran dalam talian sejak Mei.

“Kesejahteraan pelajar antarabangsa dan kemajuan mereka untuk masa hadapan menjadi keutamaan kami. EMGS telah mengambil langkah proaktif untuk menyokong Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan mempromosikan pembelajaran dalam talian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Mohd Radzlan Jalaludin dalam kenyataan tersebut, hari ini.

EMGS juga akan memastikan segala usaha dilakukan adalah yang terbaik buat pelajar antarabangsa, pendidik dan industri.

Sementara itu, EMGS berpendapat inisiatif proaktif yang diambil untuk mendorong kemasukan pelajar antarabangsa akan memberi kesan positif dan membantu institusi pendidikan dalam menyusun semula strategi mereka, sesuai dengan normal baharu.

“EMGS juga percaya bahawa perhatian seharusnya diberikan kepada pelajar antarabangsa untuk kembali ke Malaysia dan meneruskan pengajian,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut dengan strategi tepat dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, ia dapat membantu kesemua institusi pendidikan tinggi dalam Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan.

– BERNAMA 

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share