Suami isteri mengaku tidak bersalah pertuduhan guna dokumen palsu rentas negeri

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk merentas negeri pada bulan lalu.

-Advertisement-

Ahmad Aizuddin Abd Mokhti, 30, dan isteri, Nur Farah Aina Muslim, 30, didakwa bersama-sama menggunakan dokumen memo untuk berjumpa doktor bertarikh 27 Mei 2020 sedangkan mereka tahu maklumat itu adalah palsu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka yang bekerja sebagai jurutera kilang dan akauntan itu didakwa bersama-sama menggunakan satu dokumen, iaitu permit pengecualian kawalan pergerakan bertarikh 23 Mei 2020 yang mereka tahu adalah palsu .

Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dengan menggunakan dua dokumen terbabit di Plaza Tol Juru arah utara, Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, pada jam 3.30 pagi 23 Mei lalu.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-Advertisement-

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazri Abdul Rahim, menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam, Chiang Kian Hong yang mewakili pasangan itu, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada polis, selain perlu menyara ibu bapa orang kurang upaya (OKU).

Majistret Shamsol Azwa Martadza kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, suami isteri itu menggunakan dokumen terbabit dengan menukar tarikh bagi tujuan merentas negeri dari Kajang, Selangor, ke Pulau Pinang.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share